POLITIK

PRN Negeri Sembilan: Dr Hakim tampil politik matang, utamakan kebajikan tanpa mengira parti

REMBAU – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Dr Azizul Hakim Mahdi memilih untuk membawa pendekatan politik yang lebih matang dan progresif dengan mengutamakan kebajikan rakyat tanpa mengira latar belakang politik sepanjang tempoh berkempen.

Menurut beliau, pendekatan itu diterjemahkan menerusi program Ziarah Kasih Doktor Rakyat yang dilaksanakan sebelum ini dan diteruskan sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan bagi menyantuni penduduk yang uzur, terlantar sakit serta memerlukan bantuan.

prn negeri sembilan
Calon DUN Rantau, Dr Azizul Hakim Mahdi (kiri) daripada Pakatan Harapan. 

“Program ini telah saya jalankan sejak sebelum tempoh kempen lagi. Ketua kampung turut serta membawa kami menziarahi penduduk yang terlantar sakit dan memerlukan bantuan.

“Kami tidak memilih latar belakang politik. Tadi kami turut menziarahi individu yang merupakan penyokong kuat Barisan Nasional termasuk ahli Wanita UMNO.

“Namun apabila mereka sakit dan memerlukan bantuan, kami tetap hadir untuk melihat keperluan mereka serta membantu mendapatkan bantuan yang sewajarnya,” katanya ketika ditemui Malaysia Tribune dalam program Walkabout di Kampung Nyatuh, di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Syed Ibrahim Syed Noh yang juga Ahli Parlimen Ledang.

Dr Hakim berkata, sebagai seorang doktor, beliau meletakkan aspek kesihatan sebagai keutamaan yang merentasi perbezaan politik sebelum memperkenalkan manifesto dan pencapaian kerajaan kepada rakyat.

“Sepanjang tempoh kempen ini, Alhamdulillah, kami cuba membawa politik yang baharu iaitu politik yang lebih progresif, matang dan tidak dipenuhi budaya menghina atau mencerca pihak lawan.

“Sebagai seorang doktor, saya meletakkan soal kesihatan mengatasi politik. Kesihatan merentasi perbezaan politik.

“Selepas itu barulah kami menerangkan manifesto Pakatan Harapan, prestasi Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Datuk Seri Aminuddin Harun serta pencapaian Kerajaan Persekutuan di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.

Beliau berkata manifesto yang dibawa adalah kesinambungan kepada prestasi kerajaan sedia ada dan berharap pengundi membuat pilihan berdasarkan rekod pencapaian, bukannya sentimen politik.

“Manifesto yang kami tawarkan adalah kesinambungan kepada prestasi kerajaan sedia ada. Saya berharap pengundi, khususnya di DUN Rantau, dapat membuat penilaian berdasarkan prestasi, bukan semata-mata sentimen,” katanya.

Sementara itu, Dr Hakim turut menyeru pengundi DUN Rantau agar memberikan peluang kepadanya untuk berkhidmat sebagai wakil rakyat.

“Saya berharap para pengundi di DUN Rantau dapat memberikan peluang kepada saya pada pilihan raya kali ini.

“Jika diberi kepercayaan, marilah kita bersama-sama mencipta sejarah dengan melakukan perubahan. Cubalah beri peluang sekali ini untuk membawa satu lembaran baharu kepada DUN Rantau,” katanya.

Pada PRN Negeri Sembilan kali ini, Dr Hakim akan menghadapi persaingan satu lawan satu dengan penyandang DUN Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan daripada Barisan Nasional (BN).

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button