BERITA SEMASA

48 peratus rakyat Malaysia ditahan di luar negara akibat kesalahan dadah

KUALA LUMPUR – Hampir separuh daripada 3,322 rakyat Malaysia yang ditahan di luar negara setakat bulan lepas adalah atas kesalahan berkaitan dadah.

Menurut Timbalan Menteri Luar, Datuk Lukanisman Awang Sauni, seramai 1,588 rakyat Malaysia ditahan atas kesalahan berkaitan dadah tahun ini iaitu kira-kira 48 peratus daripada jumlah keseluruhan.

“Angka itu meningkat daripada 1,181 orang pada 2024 kepada 1,303 orang tahun lalu dan 1,588 orang tahun ini,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Doris Sophia Brodi (GPS-Sri Aman) berhubung rakyat Malaysia yang ditahan atau didakwa di luar negara atas kesalahan dadah sejak lima tahun lalu, serta keberkesanan pemeriksaan keselamatan di lapangan terbang.

Lukanisman seterusnya berkata, Indonesia mencatatkan jumlah tertinggi rakyat Malaysia ditahan atas kesalahan berkaitan dadah, iaitu 381 orang, diikuti China (380), Singapura (310), Thailand (102) dan Jepun (72).

Menurutnya, rakyat Malaysia ditahan atas kesalahan berkaitan dadah di 40 negara.

Beliau mengakui, angka penahanan tersebut turut menimbulkan kebimbangan mengenai kelemahan dalam aspek keselamatan sempadan.

“Ini menunjukkan terdapat kelemahan di pintu masuk dan keluar negara kita, khasnya lapangan terbang,” katanya lagi.

Jelasnya, sindiket dadah kini menggunakan kaedah yang semakin kreatif untuk menyeludup dadah merentasi sempadan, termasuk menyembunyikannya dalam bagasi dan kasut diubah suai.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button