JENAYAH & MAHKAMAH

Polis tahan lelaki disyaki libas parang ketika operasi

GOMBAK – Polis menahan seorang lelaki tempatan selepas dipercayai melibas parang ke arah anggota polis ketika operasi di Jalan Ulu Yam, Batu Caves, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, kejadian itu berlaku ketika Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak menjalankan operasi tangkapan terhadap seorang suspek pengedaran dadah, pukul 4.30 petang semalam.

Beliau memberitahu, suspek yang ketika itu cuba melarikan diri, bertindak menyerang anggota polis menggunakan sebilah parang.

“Dalam cubaan untuk melarikan diri, suspek bertindak agresif dengan melibas sebilah parang ke arah anggota polis sebelum berjaya ditahan.

“Hasil pemeriksaan, polis merampas senjata tajam berukuran 57 sentimeter (cm) dan dadah disyaki jenis heroin seberat 18.9 gram (g) dan syabu seberat 7.4 g,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 39B, Seksyen 39A(1) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Kes turut disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

“Suspek kini direman selama empat hari sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan,” katanya.

Dalam pada itu, Noor Ariffin berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor S. Prakash di talian 012-2940827 atau Bilik Gerakan IPD Gombak di 03-61262222.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button