Krisis jerebu: 1.9 juta hektar hutan Indonesia musnah terbakar sejak Januari 2026
JAKARTA – Kebakaran hutan di Indonesia yang menyebabkan krisis jerebu di rantau ini telah memusnahkan lebih 1.9 juta hektar kawasan antara Januari hingga akhir September tahun ini.
Dapatan itu terkandung dalam laporan diterbitkan laman pemantauan pembasmian hutan Nusantara Atlas, lapor AFP.
Data itu menunjukkan, satu kawasan hampir 12 kali ganda saiz London telah terbakar di Indonesia tahun ini, di mana sebahagian besarnya berlaku apabila kemarau melanda mulai Jun, yang memburukkan lagi keadaan akibat kitaran El Nino yang kuat.
Kerajaan Indonesia bagaimanapun belum memberikan angka rasmi bagi kawasan yang terbakar sejak mengumumkan bahawa 202,000 hektar telah musnah pada akhir Julai.
Data baharu itu didedahkan ketika pegawai Indonesia menolak desakan untuk mengisytiharkan kebakaran berkenaan sebagai bencana nasional dan menyatakan negara itu “masih mampu menangani situasi ini sendiri” selepas jiran mereka, Malaysia, sekali lagi menawarkan bantuan.
Pengasas Nusantara Atlas, David Gaveau berkata, skala sebenar kebakaran itu berkemungkinan lebih tinggi daripada 1,916,588 hektar yang dikesan oleh organisasinya setakat ini.
“Anggaran kawasan terbakar kami adalah konservatif atas dua sebab. Pertama, kami mengecualikan kesan kebakaran individu yang lebih kecil daripada 6.25 hektar… Kedua, kami memberi keutamaan untuk mengelakkan pengesanan palsu,” katanya.
Tahun ini, pengiraan itu turut terjejas akibat jerebu tebal yang kadangkala menghalang imej satelit.
“Oleh itu, jumlah kawasan terbakar yang dilaporkan adalah lebih rendah daripada kawasan sebenar yang terbakar,” katanya.
Meskipun begitu, data Nusantara Atlas menunjukkan kawasan yang terbakar menjelang akhir September tahun ini adalah 38 peratus lebih tinggi berbanding tempoh sama pada 2019.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








