Lima ditahan disyaki terbabit rasuah dana kecemasan bencana di Indonesia
JAKARTA – Lima individu ditahan berhubung dakwaan rasuah membabitkan dana kecemasan bencana dan kontrak perolehan bernilai kira-kira Rp148 bilion (RM33.5 juta) di Indonesia.
Suruhanjaya Pembanteras Rasuah (KPK) memaklumkan, suspek terdiri daripada dua pakar penasihat kepada Ketua Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB), seorang pegawai yang bertanggungjawab terhadap bantuan kecemasan dan pengurusan dana serta dua individu daripada sektor swasta.
“Sepanjang tempoh 2024 hingga 2026, BNPB bekerjasama dengan beberapa pembekal bagi urusan perolehan melalui lantikan terus, dengan sebahagian daripadanya disyaki mempunyai kaitan dengan seorang individu,” menurut KPK dalam satu kenyataan.
Tambah KPK lagi, kelima-lima suspek ditahan pada 14 Oktober bagi tempoh awal 20 hari sehingga 2 November, manakala agensi berita Antara secara berasingan melaporkan penyiasat turut menggeledah pejabat Ketua BNPB dan beberapa premis lain antara 14 hingga 15 Oktober.
Suruhanjaya itu memaklumkan, kontrak perolehan yang diberikan kepada pembekal yang didakwa mempunyai kaitan dengan individu tertentu bernilai kira-kira Rp148 bilion.
Sebahagian dana berkenaan disyaki disalurkan kepada syarikat berkaitan dan digunakan untuk kepentingan peribadi, termasuk pembelian saham.
KPK turut memaklumkan, bahawa penyiasat merampas bahan bukti bernilai keseluruhan kira-kira Rp5.47 bilion, termasuk wang tunai sebanyak Rp3.35 bilion, mata wang asing, emas serta aset mata wang kripto bernilai Rp1.10 bilion. – BERNAMA
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








