POLITIK

Dakwaan rasuah RM10 juta: PN desak siasatan bebas, telus libatkan MP PKR

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh dan telus susulan dakwaan seorang Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) menerima rasuah hampir RM10 juta.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, siasatan itu perlu dibuat secara telus oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan kebenaran ditegakkan tanpa campur tangan mana-mana pihak atau individu.

Justeru katanya, PN juga menggesa kerajaan, terutama kepimpinan PKR memberikan penjelasan segera kepada rakyat selain bekerjasama penuh dalam siasatan dijalankan.

“Kegagalan menangani dakwaan ini secara terbuka dan berintegriti hanya akan menjejaskan keyakinan rakyat terhadap komitmen kerajaan memerangi rasuah serta salah guna kuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kelmarin, ahli perniagaan yang dikaitkan dengan skandal ‘mafia korporat’, Victor Chin atau nama sebenarnya Chin Boon Loong dilaporkan mendakwa seorang Ahli Parlimen PKR meminta beliau menyediakan wang tunai RM10 juta bagi menyelesaikan isu terbabit.

Victor menerusi dokumen setebal 40 halaman yang memperincikan kronologi peristiwa itu bagaimanapun berkata, pada peringkat awal beliau hanya menyediakan RM9.5 juta.

Namun katanya, baki RM500,000 tidak pernah diserahkan kerana isu berkenaan tidak diselesaikan.

Dakwaan ‘mafia korporat’ itu turut membabitkan tuduhan mengenai pegawai kanan SPRM yang didakwa mengatur kempen intimidasi terhadap eksekutif serta pemegang saham syarikat awam tersenarai.

Pada 16 Mac lalu, polis mengesahkan telah menyerbu beberapa premis milik Victor di sekitar Kemensah dan Sungai Long, Kajang.

Sementara itu, Takiyuddin berkata, PN turut mendesak supaya identiti individu terbabit hanya ditentukan melalui proses siasatan sah bagi mengelakkan spekulasi yang boleh menjejaskan reputasi pihak tidak bersalah.

Dakwaan itu katanya amat membimbangkan kerana bukan sahaja melibatkan jumlah wang besar, malah menimbulkan persoalan serius berkaitan tadbir urus korporat, salah guna pengaruh politik serta integriti institusi negara.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata, lebih membimbangkan apabila dakwaan itu menyatakan wang berkenaan diberikan bagi mendapatkan campur tangan politik dalam urusan korporat.

“Jika benar, ia adalah pelanggaran serius terhadap prinsip tadbir urus baik dan integriti yang selama ini dilaungkan kerajaan.

“Ia juga berpotensi mencetuskan persepsi pengaruh politik digunakan untuk campur tangan dalam urusan korporat serta proses penguatkuasaan undang-undang,” kata Setiausaha Agung PAS itu.

Beliau berkata, PN akan terus memantau perkembangan kes ini dan tidak akan teragak-agak membawanya ke Parlimen bagi memastikan prinsip akauntabiliti dan integriti dalam pentadbiran negara dipertahankan.

“Integriti bukan sekadar slogan dan kata-kata muluk pemanis bicara, sebaliknya lebih daripada itu. Ia menuntut pembuktian melalui ketelusan serta akauntabiliti konsisten dan berani,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button