POLITIK

Keanggotaan Rafizi, Nik Nazmi dalam PKR tergugur – Fuziah

CYBERJAYA – PKR mengesahkan keanggotaan Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad, tergugur selepas mereka mengisytiharkan keluar parti.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh dalam satu kenyataan sebentar tadi berkata, keputusan itu selaras dengan Fasal 9(1)(c) Perlembagaan parti selepas bekas Timbalan Presiden dan bekas Naib Presiden itu menyuarakan hasrat keluar parti.

“PKR sudah menerima rakaman ucapan Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad yang umum mengosongkan kerusi Parlimen dan keluar daripada parti, hari ini.

“Pengisytiharan itu adalah jelas bertepatan dengan peruntukan Perkara 49A(1)(a)(ii) Perlembagaan Persekutuan.

“Ia menyatakan dengan jelas bahawa kerusi ahli Dewan Rakyat hendaklah menjadi kosong jika dia tidak lagi menjadi anggota parti politik terbabit selepas dipilih ke Dewan Rakyat sebagai anggota suatu parti politik,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Fuziah turut memaklumkan, akan merujuk dua kes membabitkan Ahli Parlimennya kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, mengenai status mereka sebagai Ahli Parlimen, berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.

Pada masa sama, beliau berkata, PKR akan menentukan keanggotaan Ahli Parlimen lain yang hadir program sama.

Ahli Parlimen PKR lain yang kelihatan hadir dalam majlis sama ialah Wong Chen (Subang), Datuk Bakhtiar Wan Chik (Balik Pulau), Rodziah Ismail (Ampang), Zahir Hassan (Wangsa Maju) and Lee Chean Chung (Petaling Jaya).

Terdahulu, Rafizi dan Nik Nazmi mengesahkan akan mengambil alih sebuah parti politik dikenali Parti Bersama Malaysia (BERSAMA) dan mengumumkan akan mengosongkan kerusi Parlimen masing-masing berkuat kuasa esok.

Kedua-dua mereka juga akan memaklumkan menerusi surat rasmi mengenai keputusan meninggalkan PKR kepada Fuziah, Selasa ini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button