POLITIK

Sokongan kepada PM teguh, PKR digesa kekal bersatu hadapi cabaran

KUALA LUMPUR – Parti Keadilan Rakyat (PKR) digesa terus memperkukuh kesatuan dalaman dan mempertahankan kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mendepani cabaran semasa, termasuk ketidaktentuan ekonomi global.

Ketua PKR Cabang Pokok Sena, Mohd Altab Pa Ibrahim menegaskan sokongan penuh dan tidak berbelah bahagi terhadap Presiden PKR itu.

“Kekuatan parti terletak pada kesatuan, disiplin dan keikhlasan setiap ahli dalam mempertahankan perjuangan agenda bersama

“Parti ini hanya akan kuat kalau ahlinya bersatu, bukan saling tikam dari dalam. Bukan kita bakar satu rumah, kemudian berdiri di luar konon jadi penyelamat,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, perpecahan dalaman hanya akan melemahkan parti, malah tindakan menyerang kepimpinan sendiri secara terbuka disifatkan tidak wajar dan boleh menjejaskan keyakinan akar umbi.

Dalam kenyataan sama, beliau turut membangkitkan isu melibatkan bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli yang didakwa berdepan cabaran daripada ahli cabangnya sendiri, termasuk undi tidak percaya terhadap kepimpinan beliau.

“Keputusan yang diperolehi amat mengejutkan hanya 42 undi menyokong beliau, manakala lebih 45 peratus ahli cabang sendiri menyatakan tidak percaya terhadap kepimpinan beliau.

“Ini adalah gambaran jelas bahawa beliau gagal dan hilang sentuhan dengan akar umbi. Rafizi gagal mendapat kepercayaan di kawasan sendiri.

“Jika di kawasan sendiri pun gagal meyakinkan ahli sendiri, bagaimana mungkin mahu berbicara soal kepimpinan dan masa depan di peringkat nasional?” tegasnya.

Mohd Altab turut mengingatkan bahawa tindakan berterusan mengkritik parti dan Presiden secara terbuka boleh menimbulkan rasa muak dalam kalangan ahli, terutama jika dilihat lebih menjurus kepada kepentingan peribadi berbanding perjuangan kolektif.

“PKR tidak memerlukan ‘hero’ bermusim yang hanya muncul untuk mengkritik, tetapi menghilang apabila kerja sebenar di peringkat akar umbi diperlukan,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua ahli parti agar kembali bersatu, memperkukuh organisasi serta memberi tumpuan kepada usaha membantu kerajaan pimpinan Perdana Menteri dalam menghadapi cabaran semasa, bukannya mencetuskan perpecahan dalaman.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button