POLITIK

Amirudin seru amalan politik matang demi kerukunan Pemilihan PKR 2025

KUALA LUMPUR – Calon Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Amirudin Shari menyeru agar semua pihak yang terlibat dalam pemilihan parti itu mengamalkan pendekatan politik matang dan damai demi menjamin keharmonian serta integriti proses pemilihan.

Beliau berkata, kempen yang sedang berlangsung haruslah berpaksikan semangat setiakawan tanpa terlibat dalam budaya politik menyerang peribadi, fitnah, serta tuduhan tidak berasas.

“Saya menggesa agar semua sahabat seperjuangan tetap istiqamah berkempen dengan beradab dan tidak terpalit fasad serta hasad menyerang peribadi,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Kenyataan media dikeluarkan Amirudin Shari hari ini.

Amirudin turut merujuk kenyataan yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) berhubung dakwaan yang dikaitkan dengan Timbalan Presiden parti dan menegaskan bahawa proses pemilihan harus mencerminkan amalan politik reformasi sejati yang diperjuangkan oleh PKR.

“Ini bukanlah amalan yang ingin kita lihat dalam proses pemilihan sebuah parti ‘reform’ yang dipanggil sebagai Parti Keadilan Rakyat,” tegasnya.

Beliau juga menyeru agar semua calon dan penyokong mematuhi garis panduan serta tatacara yang telah ditetapkan oleh pihak JPP.

“Pemilihan kali ini adalah pentas untuk menampilkan idea dan gagasan masing-masing secara sihat dan matang, serta peluang untuk prestasi kita dalam penggal sebelum ini dinilai oleh anggota parti dan turut diperhatikan oleh rakyat,” katanya lagi.

Sebagai parti tunjang dalam Kerajaan Perpaduan, Amirudin menekankan bahawa tindak-tanduk ahli dan pemimpin PKR kini menjadi perhatian umum dan mencerminkan imej keseluruhan parti.

“Rakyat akan melihat segala tindak tanduk serta perbuatan kita. Ayuh sama-sama kita mempamerkan politik yang damai dan matang demi manfaat bersama,” katanya mengakhiri kenyataan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button