BERITA SEMASA

Nga Kor Ming sambut baik reformasi institusi Anwar, kukuhkan demokrasi negara

KUALA LUMPUR – Timbalan Pengerusi Kebangsaan Parti Tindakan Demokratik (DAP), Nga Kor Ming menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung pelaksanaan reformasi institusi penting termasuk cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal serta pemisahan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya.

Menurut beliau, langkah berkenaan amat signifikan dalam usaha memperkukuh mekanisme semak dan imbang institusi negara, selain mengelakkan penumpuan atau monopoli kuasa dalam jawatan-jawatan utama.

“Reformasi institusi ini adalah kritikal bagi memastikan sistem pentadbiran negara kekal telus, berakauntabiliti dan berintegriti, selaras dengan prinsip demokrasi,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Kor Ming berkata, Kerajaan MADANI turut berhasrat memperkukuh kepercayaan awam menerusi pembentangan Rang Undang-Undang Akta Kebebasan Maklumat 2026 yang memberi akses lebih luas kepada rakyat terhadap maklumat serta keputusan kerajaan.

Menurutnya, akta berkenaan dijangka melengkapkan peranan Majlis Media Malaysia dalam memastikan rakyat memperoleh maklumat yang tepat dan relevan, sekali gus melahirkan masyarakat Madani yang berinformasi serta mampu membuat keputusan secara rasional dalam kehidupan seharian.

Beliau berkata, pengumuman yang dibuat sempena Amanat Perdana Menteri Tahun 2026 itu merupakan kesinambungan kepada beberapa kejayaan penting Kerajaan MADANI sepanjang tiga tahun pentadbirannya.

“Antara pencapaian tersebut termasuk penggubalan Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 yang memberi autonomi kepada Parlimen untuk mengurus tadbir dan pentadbirannya sendiri, sekali gus memperkukuh doktrin pengasingan kuasa,” katanya lagi.

Selain itu, Akta Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan 2025 memberi tumpuan kepada peningkatan kecekapan perkhidmatan awam dengan sasaran pengurangan karenah birokrasi sekurang-kurangnya 25 peratus dalam tempoh tiga tahun.

“Akta Perolehan Kerajaan 2025 pula mengukuhkan ketelusan, integriti dan kecekapan dalam proses perolehan awam bagi memastikan dana awam digunakan secara berkesan demi kepentingan rakyat,” katanya lagi.

Kor Ming turut menyifatkan langkah pemberian kewarganegaraan secara automatik kepada kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia dan bapa warga asing sebagai satu pencapaian besar dalam mengangkat martabat wanita serta hak kesaksamaan jantina.

“Reformasi institusi yang sedang dilaksanakan Kerajaan MADANI bukan sahaja menunaikan janji manifesto, malah diyakini mampu meningkatkan tahap ketelusan, akauntabiliti dan integriti dalam sistem pentadbiran serta perundangan negara.

“Kerajaan MADANI kekal komited untuk merealisasikan agenda reformasi institusi ini demi memperkukuh demokrasi, kedaulatan undang-undang dan tadbir urus yang baik, selaras dengan kepentingan rakyat serta masa depan negara,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau menyeru seluruh rakyat Malaysia agar terus berdiri teguh bersama Kerajaan MADANI pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya Malaysia terus melangkah ke arah kecemerlangan dan disanjung tinggi di peringkat antarabangsa.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button