Bebaskan Najib untuk menang pilihan raya – Zaid Ibrahim
KUALA LUMPUR – Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (undang-undang) Datuk Mohd. Zaid Ibrahim meminta Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membebaskan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Zaid menerusi satu ciapan di Twitternya hari ini berkata, perkara tersebut adalah demi kebaikkan rakyat dan bagi memastikan kemenangan dalam pilihan raya akan datang.
“Ke hadapan perdana menteri, anda perlu ubah fikiran tentang Najib – demi rakyat. Biarkan dia bebas.
“Dalam pilihan raya negeri akan datang ini, (kerajaan) Madani perlu menang; anda perlu jadi perdana menteri untuk beberapa tahun lagi,” ciap Zaid hari ini.
Kata Zaid, UMNO kini dalam keadaan lemah dan hanya Najib yang mampu membantu parti itu menang dalam PRN yang akan diadakan di enam negeri nanti.
Tambahnya lagi, jumlah RM42 juta, iaitu nilai dalam kes rasuah SRC International yang Najib disabit bersalah, hanyalah perkara kecil, berbanding kes lain dalam negara.
“Sudah tentu, dia sudah didapati bersalah, tetapi dalam ‘scheme of things’, RM42 juta adalah ‘small change’.
“Lagipun, mulai sekarang, rasuah adalah perkara yang sudah berlalu di bawah kepimpinan anda yang tegas dan bersih. Tiada siapa boleh kata anda berlembut dengan rasuah jika mengampuni Najib,” katanya lagi.
Terdahulu, Najib didapati bersalah dalam kes rasuah SRC International berjumlah RM42 juta dan kini menjalani hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.
UMNO sebelum ini telah membuat permohonan agar bekas perdana menteri itu diberi pengampunan diraja.
Anwar yang turut menganggotai Lembaga Pengampunan telah menjelaskan setiap individu yang disabitkan bersalah ada hak untuk mendapatkan pembebasan dengan memfailkan permohonan dengan lembaga itu.
Bagaimanapun, beliau berkata pengampunan itu adalah hak mutlak Yang di-Pertuan Agong.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








