Anwar sampai dua kenyataan penting di Sidang Kemuncak BRICS
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Rio De Janeiro, Brazil hari ini bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS ke-17.
Ketibaan Anwar di Pangkalan Tentera Udara Galeão, Rio de Janeiro pada jam 5.40 pagi waktu tempatan (4.40 petang waktu Malaysia) menandakan permulaan penyertaan Malaysia secara rasmi sebagai Negara Rakan BRICS, susulan pelantikan rasmi pada 1 Januari lalu.
Pada persidangan dua hari yang bermula esok, beliau dijadual menyampaikan dua kenyataan negara.
Pemangku Ketua Perwakilan Kedutaan Besar Malaysia di Brasilia, Datuk Mohammad Ali Selamat berkata, kenyataan yang bakal disampaikan itu turut mencerminkan peranan proaktif Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025, yang membawa suara kolektif rantau Asia Tenggara dalam forum global.
Anwar tiba dari Paris selepas menamatkan lawatan rasmi dua hari ke Perancis.
Ketibaan beliau disambut oleh Mohammad Ali dan Laudemar Goncalves de Aguiar Neto, Setiausaha Promosi Perdagangan, Sains, Teknologi, Inovasi dan Kebudayaan Brazil.
Semasa berada di Brazil, Anwar yang juga Menteri Kewangan, dijadual mengadakan mesyuarat perniagaan dengan syarikat aeroangkasa terkemuka Brazil, Embraer, sebagai sebahagian daripada usaha memperluas kerjasama teknologi dan industri pertahanan.
Beliau turut diiringi beberapa menteri kanan termasuk Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz, serta Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
Setakat 2024, perdagangan dua hala Malaysia–Brazil mencatatkan peningkatan 14.6 peratus kepada RM20.35 bilion (AS$4.38 bilion), menjadikan Brazil antara rakan dagang utama Malaysia di rantau Amerika Latin.
Eksport utama Malaysia ke Brazil merangkumi produk elektrik dan elektronik (E&E), produk getah, petroleum dan kimia, manakala import dari Brazil melibatkan bijih logam, daging, kopi dan petroleum mentah.

| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |









One Comment