PMX

PH tolak politik perkauman, Anwar pertahan kerjasama dengan DAP

BATU PAHAT – Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan politik berasaskan perkauman perlu dihentikan kerana ia hanya akan merugikan rakyat dan negara.

Menurut Perdana Menteri, masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum tidak wajar dijadikan modal untuk memecah-belahkan rakyat ketika kempen pilihan raya.

Menurutnya, politik lama yang memainkan sentimen kaum hanya menguntungkan pihak tertentu sedangkan golongan rakyat biasa terus terpinggir daripada arus pembangunan.

“Kita (Malaysia) ini negara berbilang kaum, kenapa nak gaduh bila kempen pilihan raya. Yang untung nanti orang atas, rakyat biasa terus susah,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Bersama PMX bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Senggarang di sini, hari ini.

Baca juga : PRN: Anwar seru pengundi Johor beri peluang PH tadbir, tekankan tatakelola baik

Hadir sama, calon PH Dewan Undangan Negeri (DUN) Senggarang, Onn Abu Bakar; DUN Penggaram, Felicia Poh Rui Ling dan DUN Rengit, Mohamad Yazid Bakri.

Anwar yang juga Presiden PKR turut menegaskan beliau tidak mempunyai masalah untuk bekerjasama dengan DAP dalam Kerajaan Perpaduan selagi ia memberi tumpuan kepada kebajikan rakyat.

Beliau berkata, kerjasama tersebut telah berjalan dalam tempoh beberapa tahun tanpa menimbulkan isu besar berkaitan dasar membela nasib rakyat termasuk Melayu, Cina dan India.

Menurutnya, sekiranya mana-mana pihak termasuk DAP melanggar prinsip yang merugikan Islam dan orang Melayu, kerajaan tidak akan teragak-agak untuk bertindak.

“Saya tidak ada masalah bekerjasama dengan mana-mana pihak termasuk DAP selagi ia memberi manfaat kepada rakyat. Kerjasama ini sudah lama berjalan dan tidak mengganggu kebajikan mana-mana kaum,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, isu pendidikan termasuk sekolah aliran, maahad tahfiz dan pendidikan pelbagai kaum perlu dibincangkan secara bersama bagi mencari penyelesaian terbaik.

Pada masa sama, beliau menegaskan fokus utama kerajaan adalah untuk memastikan rakyat tidak terus terperangkap dalam politik perpecahan, sebaliknya menikmati pembangunan yang adil dan seimbang.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button