BERITA SEMASAPMX

Kerajaan teruskan PKPP kepada pesara

SUBANG JAYA – Kerajaan akan meneruskan Pemberian Penghargaan Khas Kepada Pesara (PKKP) bagi mana-mana pesara dan penerima pencen terbitan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengumumkan perkara itu berkata, ketetapan itu dibuat melalui keputusan Jemaah Menteri, semalam.

“Sebagai komitmen bagi menjaga kebajikan pesara dan penerima pencen terbitan, kerajaan melalui keputusan Jemaah Menteri pada 20 Disember, bersetuju untuk meneruskan pemberian PKKP bagi mana-mana pesara dan penerima pencen terbitan yang menikmati PKKP.

“Ia bagi memastikan mereka menerima amaun yang lebih tinggi untuk menjaga kebajikan pesara dalam menangani kos sara hidup masa kini,” katanya dalam satu sidang akhbar, di sini hari ini.

Pemberian PKKP ini adalah kesinambungan daripada bantuan yang mula diberikan pada Julai 2023 dan menurut Anwar, langkah ini adalah bukti keprihatinan Kerajaan MADANI selaras dengan konsep Ihsan.

Beliau berkata, Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang berkuat kuasa 1 Disember lalu turut membabitkan penyelarasan pencen kepada pesara dan penerima pencen terbitan berdasarkan semakan gaji perkhidmatan awam selaras dengan seksyen 3, Akta Penyelarasan Pencen 1980 (Akta 238).

Katanya, jumlah pencen akan diselaraskan berdasarkan peratusan pelarasan gaji ke atas gaji akhir pesara mengikut kumpulan perkhidmatan masing-masing secara berfasa pada 1 Disember 2024 dan 1 Januari 2026.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button