BERITA SEMASA

Gandar belakang tercabut: JPJ gantung sementara sijil kelulusan kenderaan Chery Omoda 5

PUTRAJAYA – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menggantung sementara Sijil Kelulusan Jenis Kenderaan (Vehicle Type Approval – VTA) bagi model Chery Omoda 5 susulan insiden tular membabitkan kenderaan itu di Johor Bahru minggu lalu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, tindakan itu diambil sebagai langkah pencegahan awal bagi membolehkan siasatan teknikal dijalankan dan risiko keselamatan dikenal pasti dengan lebih tepat.

“Penggantungan itu turut menyaksikan pendaftaran baharu Chery Omoda 5 ditangguhkan sehingga siasatan teknikal selesai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, tindakan berkenaan akan dilaksanakan secara bersasar terhadap model dan varian yang berpotensi terlibat.

Dalam masa sama katanya, Chery Malaysia diarahkan mengenal pasti semua unit kenderaan yang berpotensi terjejas berdasarkan nombor komponen, kelompok pengeluaran, nombor casis (Vehicle Identification Number – VIN) serta parameter teknikal berkaitan.

Beliau turut mengarahkan supaya pemanggilan semula dilaksanakan terhadap semua kenderaan yang dikenal pasti berisiko bagi tujuan pemeriksaan dan tindakan pembetulan sewajarnya.

Selain itu katanya, JPJ akan menjalankan audit teknikal terhadap proses pengeluaran dan pemasangan Chery Omoda 5 serta pembekal komponen berkaitan.

“Audit itu merangkumi pematuhan kepada Amalan Pengilangan Baik (Good Manufacturing Practice – GMP), sistem kawalan kualiti, prosedur pemeriksaan sambungan kimpalan serta tahap keselamatan komponen yang digunakan,” katanya.

Sementara itu beliau turut menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang ketidakpatuhan yang boleh menjejaskan keselamatan pengguna jalan raya.

Katanya, pengeluar bertanggungjawab memastikan setiap kenderaan yang dipasarkan memenuhi piawaian keselamatan dan keperluan teknikal yang ditetapkan.

“Penggantungan itu hanya akan ditarik balik selepas semua tindakan pembetulan dan pencegahan dilaksanakan sepenuhnya serta mendapat pengesahan teknikal JPJ bahawa segala risiko keselamatan sudah ditangani dengan sewajarnya,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button