Peruntukan RM69 bilion kepada KPM isyarat pendidikan kekal agenda utama negara
KUALA LUMPUR – Peruntukan RM69 bilion kepada Kementerian Pendidikan (KPM) dalam Belanjawan 2027 mencerminkan komitmen kerajaan menjadikan pendidikan sebagai agenda utama pembangunan negara, khususnya dalam melahirkan modal insan berdaya saing pada masa hadapan.
Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Umi Hamidaton Mohd Soffian Lee berkata, peruntukan besar itu perlu dilihat sebagai pelaburan jangka panjang bagi meningkatkan mobiliti sosial serta memastikan negara mempunyai tenaga kerja yang berkualiti dan kompetitif.

Menurutnya, pendidikan bukan sekadar memenuhi keperluan semasa, sebaliknya memainkan peranan strategik dalam meningkatkan produktiviti negara dan membangunkan bakat yang memenuhi keperluan ilmu, kebijaksanaan serta nilai kemanusiaan.
“Peruntukan yang diberikan ini menjadi satu isyarat penting mengenai kedudukan pendidikan sebagai antara agenda pembangunan negara.
“Pelaburan besar dalam pendidikan penting untuk membangunkan modal insan, meningkatkan mobiliti sosial dan memastikan negara mempunyai tenaga kerja yang berdaya saing pada masa hadapan,” katanya kepada Malaysia Tribune.
Bagaimanapun, beliau berkata, keberkesanan peruntukan itu tidak seharusnya dinilai berdasarkan jumlah dana yang disediakan semata-mata, sebaliknya perlu mengambil kira bagaimana peruntukan berkenaan diterjemahkan kepada penambahbaikan sistem pendidikan.
Katanya, pelaksanaan peruntukan perlu memberikan kesan yang lebih konkrit, termasuk dari segi pembangunan pendidikan, penyediaan kemudahan dan peningkatan fasiliti bagi memastikan setiap pelajar mendapat akses kepada pendidikan berkualiti.
Menurut beliau, aspek akses dan kualiti pendidikan penting supaya peluang untuk mendapatkan pendidikan yang baik tidak terhad kepada kelompok tertentu, sebaliknya dapat dinikmati secara lebih menyeluruh.
“Pendidikan bukan sekadar perbelanjaan kerajaan, tetapi pelaburan strategik untuk membina negara yang berilmu, berkemahiran, berintegriti dan berdaya saing,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, peruntukan berkenaan perlu dimanfaatkan secara berkesan agar pelaburan kerajaan dalam sektor pendidikan dapat menghasilkan pulangan jangka panjang kepada pembangunan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat.
Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan KPM menerima peruntukan paling tinggi sebanyak RM69 bilion ketika pembentangan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat yang bertemakan Malaysia MADANI: Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







