BERITA SEMASAPMX

Belanjawan 2027: STR, SARA meningkat kepada RM16 bilion, beri manfaat lebih 9 juta penerima – PM

KUALA LUMPUR – Peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) ditingkatkan kepada RM16 bilion bagi 2027 berbanding RM15 bilion sebelum ini, sekali gus memperluas manfaat bantuan kepada jutaan rakyat berdepan kos sara hidup.

Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, semua penerima STR akan menerima SARA sehingga RM150 sebulan atau RM1,800 setahun, yang dijangka memanfaatkan sehingga sembilan juta penerima.

Beliau berkata, rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas yang bukan penerima STR akan menerima SARA MADANI sebanyak RM100 sebanyak dua kali, iaitu sebelum Aidilfitri dan menjelang ambang sambutan 70 tahun kemerdekaan negara.

Beliau berkata, bantuan berkenaan akan memanfaatkan sehingga 13 juta rakyat Malaysia, termasuk golongan berpendapatan sederhana (M40).

“Isu sara hidup ialah isu utama yang membelenggu rakyat. Kerajaan sentiasa menambah baik dasar bagi memastikan kesejahteraan rakyat diberi keutamaan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, hari ini.

Baca juga : Belanjawan 2027: Jualan RAHMAH, Agro MADANI terima peruntukan RM750 juta

Pada masa sama, Anwar berkata, had pelepasan cukai individu yang tidak disemak sejak 2010 dinaikkan daripada RM9,000 kepada RM12,000.

Beliau berkata, kadar cukai pendapatan individu pemastautin bagi banjaran pendapatan bercukai RM70,000 hingga RM100,000 dikurangkan kepada 18 peratus, manakala bagi banjaran RM100,000 hingga RM150,000 diturunkan kepada 24 peratus.

“Pelepasan cukai individu turut diperluas meliputi perkhidmatan penjagaan selepas bersalin, semua perbelanjaan penjagaan ibu bapa dan datuk nenek, pembelian kasut sukan serta yuran pengajian dan kemahiran merangkumi semua bidang pengajian dan tuisyen anak.

“Pelepasan gaya hidup juga diperluas meliputi langganan kecerdasan buatan (AI), selain kos pemvaksinan dan pengambilan haiwan peliharaan angkat daripada pusat berdaftar,” katanya.

Menurut Anwar, kenaikan had pelepasan dan pengurangan kadar cukai individu itu dijangka memberikan lebihan pendapatan boleh guna sehingga RM1,600 kepada kira-kira lima juta pembayar cukai.

Walau bagaimanapun, kadar cukai bagi individu berpendapatan tinggi melebihi RM1 juta diselaraskan kepada 30 peratus.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button