BERITA SEMASAPMX

PM zahir rasa sedih atas pemergian tokoh kewangan Islam Dr Yaqub Mirza

KUALA LUMPUR – Dunia kewangan Islam kehilangan salah seorang tokohnya yang terkemuka apabila Dr Yaqub Mirza meninggal dunia, meninggalkan legasi yang luas dalam institusi kewangan, pendidikan dan pembangunan komuniti Islam di seluruh dunia.

Susulan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa sediah atas pemergian tokoh berkenaan sambil menyifatkan beliau sebagai sahabat rapat keluarga yang bercita-cita tinggi untuk dunia Islam.

Beliau berkata, Dr Yaqub Mirza adalah seorang yang berdisiplin, berpendirian tenang, dan lebih suka membina sesuatu secara senyap berbanding membangga-banggakannya.

“Beliau memainkan peranan penting dalam pengukuhan institusi, menyokong para cendekiawan, serta membantu masyarakat berfikir tentang masa depan mereka. Walaupun tidak mencari pengiktirafan, ramai yang bergantung kepada beliau kerana kemurahan hati dan bimbingannya,” katanya dalam kenyataan.

Anwar menambah, pengaruh Dr Yaqub Mirza melangkaui mana-mana organisasi tunggal.

“Beliau memainkan peranan penting dalam kewangan Islam melalui Amana Funds serta menubuhkan Center for Islam in the Contemporary World di Shenandoah University, mewujudkan ruang untuk menangani cabaran umat Islam masa kini.

“Beliau memberi masa dan tenaganya tanpa mengira, terutamanya kepada pemimpin muda dan pekerja komuniti, sentiasa dengan dorongan yang sama,” kata Perdana Menteri.

Beliau menegaskan, pemergian Dr Yaqub Mirza adalah kehilangan peribadi yang besar buat dirinya dan keluarga, malah lebih besar lagi bagi mereka yang di seluruh dunia yang mendapat manfaat daripada integriti, nasihat dan teladannya.

“Institusi yang dibina serta individu yang dibimbingnya akan kekal menjadi sebahagian daripada legasinya,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button