PM seru islah penguatkuasaan: ‘Masa untuk bertindak, bukan lagi bertolak ansur’
PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru satu pembaharuan menyeluruh (islah) dalam sistem penguatkuasaan negara sambil menegaskan budaya bertolak ansur terhadap penyeludupan, rasuah, jenayah terancang dan kegiatan gelap mesti dihentikan serta-merta.
Berucap pada Majlis Amanat Bersama Ketua-Ketua Jabatan dan Agensi Penguat Kuasa Yang Berhubungan Dengan Jenayah Kewangan, Anwar berkata, meskipun negara mencatat kejayaan ekonomi yang membanggakan, kelemahan dalam tadbir urus dan penguatkuasaan masih wujud dan tidak boleh dipandang ringan.
Menurut beliau, kejayaan tidak seharusnya menjadikan kerajaan alpa terhadap ruang penambahbaikan sebaliknya perlu disertai muhasabah terhadap kelemahan yang masih membelenggu sistem.
“Kita catat rekod dari segi kejayaan ekonomi, pengurusannya membanggakan. Tetapi kita juga harus insaf bahawa ruang untuk memperbaiki masih ada,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa toleransi terhadap penyeludupan, rasuah dan jenayah terancang bukan sahaja merosakkan sistem malah mengkhianati harapan rakyat yang dahagakan pembaharuan dan keadilan.
“Penyeludupan okey, rasuah boleh, kegiatan kongsi gelap boleh diterima, kita tak boleh lagi teruskan,” tegasnya.
Perdana Menteri turut menekankan kepentingan kerja berpasukan merentas agensi dengan semua pihak memikul tanggungjawab bersama tanpa mengira pangkat dan jawatan.
Menurut beliau, bintang dan pengiktirafan pada bahu penjawat tinggi bukan sekadar simbol kemegahan, tetapi sepatutnya menjadi dorongan untuk melakukan perkara yang benar, adil dan bijaksana.
“Kerja sebagai satu pasukan dan cuba selesaikan dengan sebaik mungkin. Yang pegang jawatan, yang bintang-bintang gemerlapan itu bukan calang-calang orang.
“Bekerja puluhan tahun dan mendapat pengiktirafan sekian lama oleh pelbagai jawatan, tapi bintang-bintang gemerlapan itu harus juga mendorong dan memaksa kita melakukan sesuatu yang benar dan bijak.
“Jangan kita ambil sikap sambil lewa, mudah memaafkan dan merasakan perkara ini boleh berlaku terus-menerus,” katanya.
Anwar menegaskan bahawa masa untuk retorik telah berlalu dan negara kini memerlukan tindakan sebenar.
“Ucapan ringkas saya, masa untuk bertindak,” katanya.
Beliau turut menyeru semua pihak agar melakukan pembaharuan, islah dan perubahan secara menyeluruh demi menyelamatkan bangsa dan negara.
“Saya masih menaruh keyakinan, kerana saya tahu dalam lubuk kecil hati kita masih ada keinginan untuk membuat sesuatu yang baik. Yang penting pikullah amanah dengan sebaik mungkin,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








