BERITA SEMASA

Malaysia tidak boleh tanggung isu Rohingya sendirian

KUALA LUMPUR – Penyelesaian krisis etnik Rohingya tidak boleh diletakkan di bahu Malaysia semata-mata, sebaliknya memerlukan komitmen dan tindakan nyata Myanmar bagi menangani punca utama konflik demi menjamin penyelesaian berkekalan.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Malaysia akan terus mempergiat usaha diplomatik di peringkat dua hala, serantau dan antarabangsa bagi mewujudkan keadaan yang membolehkan etnik Rohingya pulang ke Myanmar secara selamat, sukarela, bermaruah dan mampan.

Beliau berkata, usaha penghantaran pulang itu perlu disertai jaminan hak, perlindungan dan peluang yang saksama supaya etnik berkenaan dapat membina semula kehidupan di tempat asal tanpa diskriminasi atau pengecualian.

“Di peringkat dua hala, Malaysia terus berinteraksi dengan pihak Myanmar bagi menggalakkan langkah yang menyokong kepulangan etnik Rohingya ke Myanmar,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau menjawab soalan Datuk Shamshulkahar Mohd Deli (BN-Jempol) berhubung jaminan dan mekanisme diplomatik bersama Myanmar bagi memastikan penghantaran pulang pelarian Rohingya dilaksanakan secara selamat, sukarela dan bermaruah, selain langkah kerajaan melalui ASEAN untuk menangani punca krisis.

Mengulas usaha serantau, Mohamad berkata, ASEAN terus berpegang kepada Kemuafakatan Lima Perkara (5PC) sebagai kerangka utama menangani krisis Myanmar sejak 2021.

Katanya, tiga komponen utama yang diberi penekanan ialah menghentikan keganasan, memperluas akses bantuan kemanusiaan tanpa diskriminasi serta menggalakkan dialog inklusif dengan semua pihak berkepentingan di Myanmar.

Beliau berkata, Utusan Khas Pengerusi ASEAN Mengenai Myanmar, Tan Sri Othman Hashim, masih meneruskan usaha bagi mendorong pelaksanaan 5PC secara bermakna, sekali gus memastikan usaha mencari penyelesaian praktikal dan berkekalan terhadap krisis itu dapat diteruskan.

Menurutnya, ASEAN turut mengenal pasti inisiatif tambahan bagi melengkapi usaha sedia ada dengan matlamat mendapatkan penerimaan dan kerjasama Myanmar untuk memulihkan keamanan serta kestabilan negara itu.

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button