BERITA SEMASA

MBKT siasat ‘sekolah’ Rohingya di Kampung Ladang Titian

KUALA TERENGGANU – Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) akan menyiasat dakwaan kewujudan sebuah premis di Kampung Ladang Titian yang dipercayai beroperasi sebagai sekolah bagi etnik Rohingya.

Siasatan dijalankan selepas isu itu tular dan menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk setempat.

Datuk Bandar MBKT, Lizan Che Mat berkata, pemeriksaan di lapangan sedang dijalankan oleh pegawai penguat kuasa bagi mengenal pasti status premis itu serta memastikan segala struktur tambahan mematuhi peraturan dan mendapat kebenaran pihak berkuasa tempatan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati bangunan tambahan yang digunakan sebagai bilik darjah itu pada asalnya dibina oleh pemilik kediaman tempatan untuk dijadikan kedai runcit.

Beliau berkata, tindakan mengikut Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 serta Undang-Undang Kecil Bangunan Terengganu boleh diambil sekiranya didapati berlaku pelanggaran syarat pembinaan.

MBKT juga tidak menolak kemungkinan mengeluarkan notis perobohan sekiranya struktur tambahan itu didapati dibina tanpa kelulusan yang sah, memetik Buletin TV3.

Premis berkenaan dipercayai beroperasi sejak Februari lalu dan didakwa menempatkan antara 30 hingga 50 kanak-kanak Rohingya berusia antara empat hingga 15 tahun.

Sementara itu, penduduk mendakwa premis berkenaan sebenarnya disewa semula oleh pihak ketiga tanpa pengetahuan pemilik rumah mengenai tujuan asal penyewaan.

Menurut penduduk, pemilik rumah berkenaan hanya menyewakan premis itu kepada seorang penyewa, namun individu terbabit dipercayai menyewakan semula bangunan tersebut kepada pihak lain sebelum ia digunakan sebagai pusat pembelajaran tidak formal untuk warga Rohingya.

Perkara itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk yang mahukan pemantauan lebih ketat bagi memastikan aspek keselamatan, kesihatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button