Anggota tentera tertembak rakan setugas semasa latihan direman 3 hari
KUALA LUMPUR – Seorang anggota tentera direman tiga hari selepas tembakan dilepaskannya dipercayai terkena rakan setugas di lapang sasar dekat Hutan Menyala, Port Dickson, semalam.
Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner, Mohd Nasharudin Mohd Shariff berkata, permohonan terhadap suspek dibuat di depan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Majistret Seremban, Noor Shazziera Safaruddin, pagi tadi.
“Reman terhadap suspek yang berusia 20-an itu dibenarkan selama tiga hari bermula hari ini sehingga 15 Ogos ini bagi melengkapkan siasatan,” katanya menurut Harian Metro sambil menambah siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar.
Beliau berkata, senjata api yang disyaki mempunyai kaitan dengan kejadian itu turut dirampas dan kes disiasat mengikut Seksyen 37 Akta Senjata Api 1960 serta Seksyen 337 Kanun Keseksaan.
Jelasnya, mangsa cedera yang berusia 20-an itu dalam keadaan stabil dan sedang dirawat di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban.
“Keadaan kecederaan sebenar mangsa belum dapat dipastikan kerana masih menunggu laporan rasmi pemeriksaan doktor.”
Terdahulu, tentera darat dalam kenyataan berkata, seorang anggotanya mengalami kecederaan di pipi kanan sehingga menembusi rahang bawah kiri ketika menjalani latihan menembak bagi persiapan pertandingan ujian kemahiran menembak di lapang sasar Sungai Menyala, Port Dickson, semalam.
Jelasnya, seorang anggota yang sedang menjalani latihan melepaskan tembakan ke sasaran pada jarak 25m tanpa menyedari mangsa berada di belakang sasaran itu.
Katanya, pemeriksaan doktor mendapati tiada kecederaan dalaman dan mangsa yang dalam keadaan stabil ditidurkan untuk rawatan lanjut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








