AMK kecam keganasan di Kampung Sungai Baru, gesa pembelaan anggota polis
KUALA LUMPUR – Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Kamil Munim mengecam sekeras-kerasnya tindakan ganas yang berlaku ketika operasi pengosongan rumah di Kampung Sungai Baru, semalam dan menyifatkan ia tidak wajar dijadikan sebahagian daripada budaya politik negara.
Beliau berkata, meskipun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan sentiasa terbuka terhadap kritikan dan teguran, ia tidak bermaksud menghalalkan keganasan mahupun serangan fizikal terhadap pihak berkuasa keselamatan.
“Budaya demokratik yang sihat terus segar di bawah Kerajaan MADANI, dan pihak berkuasa memberi ruang agar bantahan serta kritikan dibuat secara beradab dan selari dengan Perlembagaan.
“Tetapi kenyataan ini seolah-olah mahu menjadi ‘enabler’ terhadap tindakan ganas dan biadab di Kampung Sungai Baru.
“Menghalalkan keganasan terhadap pihak berkuasa dalam keadaan tiada seorang pun penduduk dicederakan adalah sesuatu yang menuntut kecaman dari semua pihak yang cintakan keamanan,” katanya dalam satu hantaran di laman X hari ini.
Menurut Kamil, lebih mengecewakan apabila terdapat pimpinan politik yang dilihat berdiam diri terhadap kejadian tersebut.
“Individu yang mendatangkan kecederaan langsung tidak disentuh dan dikecam dalam kenyataan Ahli Parlimen Pasir Mas.
“Apakah PAS hari ini bertekad mengangkat budaya politik pelampau selepas insiden qunut nazilah tempoh hari, dan kini memilih berdiam diri tatkala anggota keselamatan diperlakukan sedemikian rupa?” katanya lagi.
Beliau berkata, sebahagian pimpinan PAS dilihat mengamalkan politik ala khawarij yang hanya akan merosakkan keharmonian negara.
“Pimpinan seperti ini harus ditolak demi sebuah Malaysia yang aman dan stabil. Saya menggesa agar siasatan dijalankan dengan telus dan adil serta pembelaan sewajarnya diberikan kepada pegawai polis yang dicederakan,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








