BERITA SEMASALUAR NEGARA

Washington undur 1,000 anggota tentera dari Syria

WASHINGTON – Amerika Syarikat (AS) dilaporkan sedang membuat persiapan untuk menarik keluar hampir 1,000 anggota tenteranya yang masih ditempatkan di Syria, menurut laporan The Wall Street Journal yang memetik tiga pegawai kanan AS.

Bagaimanapun, laporan itu belum dapat disahkan oleh Al-Jazeera setakat semalam.

Minggu lalu, tentera AS mengesahkan pengunduran dari pangkalan al-Tanf yang terletak di selatan Syria berhampiran sempadan Iraq dan Jordan.

Pangkalan tersebut sebelum ini menjadi hab utama operasi gabungan antarabangsa menentang kumpulan militan ISIL (ISIS) yang pernah menguasai wilayah luas di Syria dan Iraq sebelum mengalami kekalahan besar pada 2017.

Menurut US Central Command (CENTCOM), pengunduran secara teratur itu merupakan sebahagian daripada peralihan yang dirancang secara teliti dan berasaskan situasi semasa.

Laporan The Wall Street Journal turut menyatakan proses pengunduran menyeluruh tentera AS dari Syria dijangka berlangsung dalam tempoh dua bulan akan datang.

Pentadbiran Presiden, Donald Trump, dilaporkan telah mempertimbangkan langkah pengunduran penuh itu sekurang-kurangnya sejak Januari lalu.

Pegawai yang dipetik akhbar berkenaan menjelaskan keputusan menarik keluar tentera dari Syria tidak mempunyai kaitan dengan peningkatan kekuatan tentera laut dan udara AS di lokasi lain di Asia Barat susulan ketegangan yang memuncak dengan Iran.

Sejak kebelakangan ini, pentadbiran Trump mengeluarkan ancaman tindakan ketenteraan terhadap Iran berhubung tindakan keras Tehran terhadap penunjuk perasaan antikerajaan serta kebuntuan rundingan nuklear yang masih berlarutan.

Sebagai sebahagian daripada langkah memperkukuh kehadiran ketenteraan di rantau berhampiran Iran, AS turut mengerahkan kapal pengangkut pesawat kedua, USS Gerald R. Ford, yang kini dalam perjalanan ke kawasan berkenaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button