AS, Iran hampir capai perjanjian damai
WASHINGTON – Amerika Syarikat (AS) dan Iran dilaporkan semakin hampir mencapai perjanjian damai, menurut Presiden AS, Donald Trump, pada Khamis.
Trump berkata, Tehran bersetuju untuk menyerahkan simpanan uranium yang diperkaya ketika kedua-dua pihak sedang mempertimbangkan pusingan rundingan lanjut di Islamabad.
Beliau memaklumkan rundingan itu berada pada tahap positif malah sedang mempertimbangkan untuk ke Pakistan bagi menandatangani perjanjian berkenaan.
“Kami sangat hampir untuk memuktamadkan perjanjian dengan Iran,” katanya sebelum berlepas ke Las Vegas menaiki helikopter.
“Kami perlu memastikan Iran tidak memiliki senjata nuklear, mereka bersetuju sepenuhnya mengenai perkara itu. Mereka bersetuju dengan hampir semua perkara, jadi mungkin jika mereka boleh ke meja rundingan, akan ada perbezaan,” tambahnya.
Apabila ditanya mengenai kemungkinan ke Pakistan untuk menandatangani perjanjian itu, Trump berkata;
“Saya mungkin pergi, ya. Jika perjanjian ditandatangani di Islamabad, saya mungkin akan ke sana,” katanya.
Pemimpin AS itu turut memuji Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif dan Ketua Turus Tentera, Asim Munir atas peranan mereka sebagai perantara dalam rundingan dengan Iran.
Sementara itu, Naib Presiden, JD Vance mengetuai delegasi AS ke Islamabad hujung minggu lalu untuk rundingan dengan pegawai Iran, namun pulang tanpa sebarang keputusan.
Rumah Putih memaklumkan bahawa pusingan kedua rundingan sedang dipertimbangkan dan berkemungkinan diadakan sekali lagi di Pakistan.
Trump berkata, Iran bersetuju menyerahkan simpanan uranium diperkaya yang menjadi antara isu utama dalam sebarang perjanjian namun beliau tidak memberikan butiran lanjut mengenai mekanisme persetujuan terbabit.
“Mereka bersetuju untuk memulangkan ‘debu nuklear’ kepada kita,” kata Trump, merujuk kepada istilah yang digunakannya bagi menggambarkan stok uranium yang diperkaya untuk membina senjata nuklear.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |





















