LUAR NEGARA

Mereka masih mahu menjajah kita – Presiden Brazil

BOGOTA – Presiden Brazil, Luiz Inácio Lula da Silva menyifatkan serangan ke atas Iran satu bentuk penindasan yang tidak boleh terus dibiarkan dan menegaskan dunia perlu bangkit mempertahankan kedaulatan negara-negara yang berdaulat daripada penjajahan Amerika Syarikat.

Lula berkata demikian dalam kenyataan tegas semasa Sidang Kemuncak Komuniti Negara-negara Amerika Latin dan Caribbean (CELAC) baru-baru ini.

Beliau menggesa masyarakat antarabangsa menyuarakan bantahan terhadap serangan itu dan tidak membiarkan tindakan ketenteraan terhadap negara berdaulat diteruskan.

Menurut beliau, serangan ke atas Iran mencerminkan sikap kuasa besar yang beranggapan mereka mempunyai hak mutlak untuk menguasai dunia, sedangkan banyak negara kini telah merdeka dan tidak lagi mahu menjadi ‘koloni’ kuasa luar.

“Empayar (Amerika Syarikat) telah mengebom Iran. Menjatuhkan sekatan ke atas Venezuela. Mengepung Cuba. Menceroboh Iraq. Memusnahkan Libya. Mengkolonikan Palestin. Dan dunia dikatakan harus terus berdiam diri.”

“Kita bukan lagi koloni. Kita ada kemerdekaan. Marilah kita bersuara!” ujarnya, menyeru negara-negara di Selatan Global untuk bersatu menentang apa yang digambarkan sebagai bentuk penindasan dan penjajahan.

Dalam ucapannya, Lula turut mengkritik pelbagai tindakan ketenteraan dan tekanan diplomatik yang berlaku di serata dunia, termasuk serangan, sekatan dan campur tangan dalam urusan negara lain dengan menyifatkannya sebagai ancaman terhadap kedaulatan negara-negara bebas.

Beliau menegaskan bahawa seruan itu bukan sekadar untuk menangisi nasib malang, tetapi untuk bersuara lantang demi kesatuan dan ketahanan antara negara-negara yang berkongsi aspirasi sama iaitu bebas dari dominasi kuasa besar.

Reaksi Brazil itu selari dengan kenyataan rasmi negara itu yang sebelum ini menyuarakan kebimbangan terhadap serangan ke atas Iran dan menekankan pentingnya menghormati undang-undang antarabangsa serta kedaulatan negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button