BERITA SEMASADALAM NEGERI

Pencalonan Nick Adams sebagai duta AS di Malaysia terbatal

KUALA LUMPUR – Donald Trump menarik balik pencalonan warga Australia-Amerika, Nick Adams, sebagai Duta Besar Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia, sekali gus menamatkan spekulasi berhubung kedudukan tokoh konservatif itu.

Keputusan itu dibuat walaupun Adams sebelum ini mendakwa beliau “dinaikkan pangkat” ke jawatan baharu yang akan diumumkan dalam masa terdekat.

Adams, penyokong tegar gerakan Make America Great Again (MAGA) dan penulis yang pernah berkhidmat sebagai ahli majlis di Sydney, diumumkan sebagai calon duta ke Malaysia pada Julai tahun lalu.

Bagaimanapun, namanya tidak tersenarai dalam senarai panjang pencalonan yang dikemukakan semula kepada Senat pada Januari lalu, termasuk bagi calon ke Hungary, Norway dan Filipina. Beliau juga tidak muncul dalam senarai tambahan yang dihantar bulan ini.

Menurut laporan NST yang memetik The Sydney Morning Herald, Adams mengesahkan menerusi e-mel bahawa beliau tidak akan menyandang jawatan berkenaan.

“Kerja penyiasatan yang cemerlang, Mick! Saya telah dinaikkan pangkat daripada jawatan duta!” katanya secara sinis kepada akhbar itu.

Beliau turut membayangkan satu pengumuman besar akan dibuat minggu hadapan dan menggesa media mengikuti perkembangan terbaharu namun enggan menjawab soalan lanjut berhubung peranan baharunya.

Setakat ini, White House tidak memberikan sebarang maklum balas terhadap permintaan berulang untuk mendapatkan komen.

Adams dilahirkan di Sydney dan mula mencipta nama apabila dipilih menganggotai Majlis Ashfield ketika aktif sebagai ahli Young Liberal di Universiti Sydney. Pada usia 21 tahun, beliau mencatat sejarah sebagai timbalan datuk bandar termuda di Australia.

Dalam perkembangan berkaitan, Trump masih belum menamakan duta AS ke Australia meskipun sudah 13 bulan memegang jawatan presiden.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button