BERITA SEMASADALAM NEGERI

Kuala Lumpur diiktiraf UNESCO City of Design

KUALA LUMPUR – Kuala Lumpur melakar satu lagi sejarah penting apabila secara rasmi diiktiraf oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai City of Design atau Bandar Reka Bentuk, sekali gus mengiktiraf komitmen ibu kota itu dalam memajukan kreativiti, inovasi dan reka bentuk sebagai pemacu pembangunan mampan.

Pengiktirafan itu sejajar dengan usaha global untuk menjadikan kreativiti sebagai asas kepada pembangunan bandar lestari, selain memperkukuh Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 dan aspirasi Warisan KL.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam kenyataan hari ini berkata, pencapaian berprestij itu membuktikan kesungguhan DBKL bersama kerajaan, komuniti kreatif, institusi akademik serta industri reka bentuk yang sejak dua tahun lalu membangunkan ekosistem reka bentuk dinamik menerusi kerjasama Think City.

Menurutnya, lebih 200 individu terlibat dalam proses penyediaan dokumen dossier Kuala Lumpur yang dihantar kepada UNESCO pada Mac lalu bagi menonjolkan identiti bandar menerusi usaha pemuliharaan warisan, pembangunan ruang awam, penubuhan institusi reka bentuk dan penganjuran acara kreatif.

“Sebagai City of Design, Kuala Lumpur akan terus menarik pelaburan dan bakat dalam sektor reka bentuk serta ekonomi kreatif, selain memperkukuh imej sebagai hab kreatif serantau.

“Reka bentuk akan menjadi pemangkin utama dalam pelbagai sektor termasuk perancangan, pembangunan, kebudayaan dan komuniti bagi membentuk bandar yang lebih mampan, inovatif serta berdaya huni,” katanya.

Dengan pengiktirafan itu, Kuala Lumpur turut memperlihatkan peranan reka bentuk sebagai pemacu utama pembangunan bandar inklusif dan berdaya maju.

DBKL juga komited dalam melaksanakan pelan pembangunan berasaskan reka bentuk meliputi dasar awam, infrastruktur, pemuliharaan warisan, peningkatan kualiti ruang awam dan pembangunan komuniti agar manfaatnya dapat dinikmati semua warga kota.

“Malaysia kini mempunyai beberapa bandar dalam rangkaian UNESCO, termasuk George Town dan Melaka yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia, Ipoh dan Kuching sebagai bandar kreatif, Langkawi sebagai Geopark Global serta Banjaran Crocker sebagai Rizab Biosfera.

“Pengiktirafan terhadap Kuala Lumpur melengkapkan rangkaian ini sebagai cerminan komitmen negara dalam memelihara warisan, memacu inovasi dan memperjuangkan kelestarian,” menurut kenyataan itu.

Secara keseluruhannya, DBKL menyifatkan pengiktirafan itu sebagai langkah besar menjadikan Kuala Lumpur bandar kreatif bertaraf dunia yang hidup, disayangi dan digerakkan oleh reka bentuk.

DBKL turut mengalu-alukan kerjasama komuniti kreatif serta industri reka bentuk bagi memperkukuh identiti Kuala Lumpur sebagai bandar berdaya saing, inklusif dan berorientasikan reka bentuk.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button