BERITA SEMASA

Jurugambar jalanan KLCC digempur, 41 dikenakan notis

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan 41 notis kompaun kepada individu yang menjalankan perkhidmatan fotografi tanpa lesen dalam operasi bersepadu Ops Lens di kawasan tumpuan awam sekitar KLCC.

Foto – FB/DBKL

DBKL dalam kenyataannya berkata, operasi tersebut dijalankan dengan kerjasama beberapa agensi penguat kuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP).

“Operasi ini bertujuan membanteras aktiviti penyediaan perkhidmatan fotografi secara terbuka di ruang awam tanpa kebenaran sah,” katanya, hari ini.

Foto – FB/DBKL

Menurut DBKL, semakan turut dilakukan ke atas rekod jenayah, status dokumen pengenalan diri dan status kerakyatan namun tiada sebarang tangkapan dibuat dalam operasi tersebut.

DBKL turut menegaskan bahawa ruang awam adalah milik bersama dan mesti digunakan secara beretika serta mematuhi peraturan sedia ada.

Foto – FB/DBKL

“Aktiviti fotografi tanpa kebenaran bukan sahaja menyalahi undang-undang malah menimbulkan risiko keselamatan kepada pengunjung.

“Ada yang menjalankan aktiviti di atas jalan raya dan laluan pejalan kaki, sekaligus membahayakan diri sendiri, pelanggan serta mengganggu kelancaran pergerakan orang awam,” katanya lagi.

DBKL juga memberi amaran tidak teragak-agak untuk menyita peralatan jika aktiviti sama berulang tanpa kebenaran.

Menurut kenyataan itu lagi, pemantauan dan penguatkuasaan akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan kawasan bandar kekal selamat, teratur dan harmoni.

Orang ramai yang mempunyai sebarang aduan berkaitan boleh menyalurkannya menerusi saluran rasmi DBKL di pautan https://adukl.dbkl.gov.my/.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button