BERITA SEMASA

Annuar Musa sangkal poster banding kadar sewa tapak bazar Ramadan DBKL

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Tan Sri Annuar Musa menafikan dakwaan tular menerusi poster memaparkan perbandingan kadar sewa tapak bazar ketika beliau memegang jawatan tersebut, yang didakwa mencecah antara RM2,000 hingga RM10,000.

Menurut poster itu, kadar sewa tapak bazar pada era Kerajaan MADANI iaitu Hannah Yeoh serta bekas menteri, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa masing-masing ditetapkan pada kadar RM500 dan RM400, selain diuruskan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Mengulas perkara itu, Annuar menegaskan dakwaan berkenaan adalah tidak benar dan meminta pihak terlibat agar tidak menyebarkan maklumat palsu.

“Kalau nak berbohong pun biar berpada-pada,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Dalam pada itu, beliau menggesa menteri Wilayah Persekutuan ketika ini supaya mengembalikan dasar ‘Wilayah Bebas Berniaga’ yang pernah dilaksanakan sebelum ini.

Menurut Annuar, dasar tersebut membenarkan peniaga berniaga secara percuma, termasuk peniaga tidak berlesen, dengan proses permohonan lesen yang dipermudahkan.

Beliau berkata, dasar berkenaan sebelum ini memberi manfaat kepada hampir 10,000 peniaga.

“Jom, kita mulakan dasar ini bulan Ramadan ini. Tak perlu nak spin,” katanya lagi.

Terdahulu, kerajaan menetapkan kadar caj maksimum tapak Bazar Ramadan di bawah kendalian DBKL pada RM400, berbanding RM500 tahun lalu.

Hannah Yeoh berkata, langkah itu diumumkan selaras dengan penambahbaikan menyeluruh penganjuran Bazar Ramadan untuk melindungi kebajikan penjaja serta memastikan tadbir urus lebih tersusun, telus dan adil.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button