JENAYAH & MAHKAMAH

DBKL sita perniagaan warga asing di Wangsa Maju

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyita tiga perniagaan dikendalikan warga asing dalam operasi khas pindah halangan di sekitar Desa Setapak dan Taman Bunga Raya, Parlimen Wangsa Maju, di sini, semalam.

DBKL dalam kenyataan memaklumkan, operasi berkenaan tertumpu kepada pemeriksaan restoran serta gerai makanan dan minuman yang beroperasi tanpa lesen selain menghalang laluan pejalan kaki, petak parkir dan kawasan awam.

DBKL menyita gerai tanpa lesen yang menghalang laluan awam dalam operasi penguatkuasaan di Wangsa Maju.

Menurutnya, hasil tindakan penguatkuasaan itu, empat gerai penjaja dan sebuah restoran telah dikenakan tindakan sita serta-merta.

“Pelbagai peralatan perniagaan termasuk kerusi, meja, tong ais dan payung turut disita dan dibawa ke Stor Sitaan DBKL untuk tujuan rekod dan dokumentasi,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Jelas DBKL, tindakan itu dilaksanakan mengikut Undang-Undang Kecil Perlesenan Penjaja (WPKL) 2016 serta Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.

Tambahnya, penguatkuasaan akan diteruskan dari semasa ke semasa di lokasi tumpuan yang dikenal pasti bagi memastikan keselamatan, kelancaran laluan awam serta memelihara persekitaran bandar daripada aktiviti perniagaan tanpa kebenaran.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button