POLITIK

Islamofobia lahir daripada tindakan pemimpin PAS sendiri – Nor Miswary

SHAH ALAM – DAP menafikan kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mendakwa kepimpinan Pakatan Harapan (PH) khususnya parti itu, sebagai punca sentimen Islamofobia di negara ini.

Pengerusi DAP Cawangan Pusat Bandar Shah Alam, Nor Miswary berkata, dakwaan tersebut disifatkan sebagai keterlaluan dan tidak berpijak pada realiti sebenar.

“Semakin hari rakyat semakin sedar punca sebenar Islamofobia dalam masyarakat majmuk negara ini bukan datang daripada mana-mana pemimpin PH, sebaliknya ia berpunca daripada tindakan dan retorik pemimpin PAS sendiri,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pemimpin PAS terbukti membuat pelbagai fitnah yang telah diputuskan di mahkamah terhadap pemimpin PH sehingga mencemarkan wajah Islam.

“Merekalah yang membina persepsi negatif dalam kalangan masyarakat bukan Islam terhadap Islam itu sendiri kerana fitnah tersebut sering dibungkus dengan naratif agama acuan mereka sendiri,” katanya.

Beliau menegaskan presiden PAS serta kepimpinan parti itu bertanggungjawab membentuk persepsi negatif terhadap Islam susulan pendekatan politik mereka yang didakwa bersifat provokatif, tidak konsisten dan sering menggunakan fitnah sebagai senjata.

Katanya, tindakan segelintir pemimpin PAS juga didakwa menjadi faktor penghalang yang menjauhkan masyarakat bukan Islam daripada mendalami nilai sebenar Islam sebagai agama yang membawa rahmat untuk sekalian alam.

“Masyarakat bukan Islam tidak hadir ke masjid melihat umat Islam bersolat yang mencegah kemungkaran, mereka tidak mendengar kuliah subuh atau maghrib malah mereka tidak membaca al-Quran untuk memahami Islam.

“Mereka hanya melihat akhlak dari batang tubuh orang Islam untuk memahami kecantikan Islam. Malangnya, akhlak Islam yang baik tidak pula dipamerkan oleh segelintir para pemimpin PAS.

“Akibatnya Islamofobia yang disebut oleh Presiden PAS tersebut lahir dari tangan PAS sendiri,” ujarnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button