AGAMAPOLITIK

ADUN Bintong fail semakan kehakiman, persoal pengisytiharan kerusi kosong DUN Perlis

KANGAR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bintong, Fakhrul Anwar Ismail akan memfailkan permohonan semakan kehakiman terhadap pengisytiharan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis yang menyatakan kerusi disandangnya kosong.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bintong, Fakhrul Anwar Ismail, a
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bintong, Fakhrul Anwar Ismail

Bekas Setiausaha PAS Perlis itu berkata, tindakan berkenaan bukan bertujuan mencabar keputusan Speaker, sebaliknya untuk mendapatkan penjelasan serta panduan undang-undang daripada pihak berautoriti.

Menurutnya, sekiranya pengisytiharan tersebut menepati peruntukan undang-undang, beliau tiada halangan untuk menerimanya, namun semakan perlu dibuat memandangkan wujud kemungkinan tafsiran berbeza dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Perlis.

“Saya mahu kepastian sama ada kenyataan Speaker itu benar-benar selari dengan undang-undang.

“Jika tidak, ia perlu diperbetulkan kerana mungkin terdapat klausa yang berbeza dalam Undang-Undang Tubuh Negeri,” katanya memetik laporan BH Online.

Semalam, Speaker DUN Perlis, Rus’sele Eizan, pada sidang media di Kompleks Seri Putra memaklumkan kekosongan luar jangka berlaku susulan keahlian tiga ADUN PAS terhenti serta-merta mengikut Fasal (1)(a)(ii) Perkara 50A Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis, membabitkan DUN Bintong, Chuping dan Guar Sanji.

Beliau turut menyatakan keperluan mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi mengisi kekosongan itu demi memastikan kestabilan kerajaan negeri, meskipun tempoh DUN Perlis telah melepasi tiga tahun pada 18 Disember lalu.

Mengulas lanjut, Fakhrul Anwar menegaskan setakat pengetahuannya terdapat percanggahan antara kenyataan Speaker dengan peruntukan undang-undang negeri, sekali gus berpendirian bahawa beliau masih merupakan ADUN yang sah.

Katanya, buat masa ini beliau berstatus ADUN Bebas dan tetap menjalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat di kawasan Bintong.

“Segala aduan serta permasalahan penduduk masih boleh disalurkan kepada saya kerana peranan sebagai pemudah cara antara rakyat dan agensi kerajaan tetap berjalan.

“Rakyat juga tidak perlu gusar kerana Ahli Parlimen Kangar, Zakri Hassan, turut membantu menyelesaikan isu yang dibangkitkan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan akan mengemukakan rayuan kepada PAS dalam tempoh terdekat susulan pengguguran keahliannya yang dipercayai berkait dengan kemelut politik negeri sehingga membawa kepada peletakan jawatan Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli, semalam.

Fakhrul Anwar berkata, setiap ahli PAS yang dikenakan tindakan disiplin mempunyai hak mengemukakan rayuan dalam tempoh 30 hari daripada tarikh disabitkan kesalahan atau digugurkan keahlian.

“Pemilihan masa untuk mengemukakan rayuan adalah penting. Dalam keadaan sekarang yang masih tegang, saya merasakan kurang sesuai untuk berbuat demikian serta-merta.

“Namun, saya akan memastikan rayuan dikemukakan sebelum tempoh 30 hari berakhir,” katanya.

Beliau menambah, sekiranya tempoh rayuan itu luput, seseorang ahli masih berpeluang memohon untuk menyertai semula PAS secara rasmi dengan mengemukakan alasan munasabah serta membuktikan kesetiaan kepada parti berkenaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button