BERITA SEMASA

Empat maut, empat cedera nahas 11 kenderaan di LPT1

TEMERLOH – Empat individu maut manakala empat lagi cedera dalam kemalangan membabitkan 11 kenderaan di Kilometer 110.4 Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) arah Lanchang menghala Kuantan, malam tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 10.44 malam.

Menurutnya, kemalangan tersebut membabitkan dua Proton Saga, dua Perodua Myvi, Toyota Alphard, bas ekspres, Proton S70, lori tangki, Honda CR-V, Toyota Hilux dan Perodua Aruz.

“Tiga mangsa maut dalam Proton S70 iaitu pemandu, Muhammad Nazatullah Nazmi, 32, penumpang, Nur Atiqah Sofiya Mohd Kazwan, 32, serta seorang kanak-kanak.

“Seorang lagi mangsa ialah lelaki dewasa berbangsa Cina yang berada dalam Honda CR-V,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Salahuddin berkata, empat mangsa lain mengalami kecederaan, termasuk dua lelaki yang tersepit dalam lori tangki dan Honda CR-V.

Katanya, seorang wanita yang menaiki Toyota Hilux turut cedera, manakala seorang lelaki mengalami kecederaan ringan dalam Proton Saga.

“Seramai 30 penumpang bas ekspres dilaporkan selamat, begitu juga mangsa dalam Toyota Alphard, Perodua Aruz, dua Perodua Myvi dan sebuah Proton Saga,” katanya.

Beliau berkata, sepasukan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mentakab bersama dua jentera tiba di lokasi pada jam 11.24 malam.

Pasukan bomba menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit sebelum mangsa cedera diserahkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk rawatan.

BBP Temerloh kemudian tiba dengan tujuh anggota bagi membantu mengeluarkan seorang lagi mangsa yang tersepit dalam Honda CR-V.

Mangsa berkenaan disahkan meninggal dunia oleh pihak KKM sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Dalam pada itu, enam anggota BBP Karak turut membantu mengeluarkan tiga mangsa yang tersepit dalam Proton S70.

Ketiga-tiga mangsa berjaya dikeluarkan namun disahkan meninggal dunia oleh pihak KKM.

Operasi menyelamat dan pembersihan dikawal pada jam 2.48 pagi sebelum ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.50 pagi.

JBPM turut menjalankan pemantauan bagi memastikan kawasan kejadian berada dalam keadaan selamat dan tiada bahaya susulan kemalangan berkenaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button