BERITA SEMASA

Tiga beranak maut nahas LPT1 dikebumi dalam satu liang

KUANTAN – Jenazah tiga beranak yang maut dalam kemalangan membabitkan 11 kenderaan di Kilometer 110.3 Lebuh Raya Pantai Timur 1 (LPT1), kawasan Lanchang, Temerloh kelmarin, selamat dikebumikan dalam satu liang lahad, malam tadi.

Pasangan suami isteri, Allahyarham Muhammad Nazatul Nazmi, 32, dan Allahyarhamah Nur Atiqah Sofiya Mohd Kazwan serta anak lelaki mereka, Muhammad Armaan Nazeef, 4, dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Setali, di sini, pada pukul 10.30 malam.

Sebelum itu, jenazah mereka dibawa ke Masjid Saidina Ali Bin Abi Talib, Bukit Sekilau, pada pukul 7 malam untuk disolatkan sebelum dibawa ke tanah perkuburan, memetik laporan BH Online.

Tiga sekeluarga yang maut dalam kemalangan di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) arah timur, Temerloh, baru pulang dari Putrajaya selepas menyambut Hari Kebangsaan.

Kira-kira 500 ahli keluarga, rakan dan kenalan hadir bagi memberikan penghormatan terakhir kepada ketiga-tiga mangsa.

Terdahulu, jenazah dituntut waris selepas proses bedah siasat selesai dijalankan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAH), Temerloh, pada pukul 1 tengah hari.

Jenazah kemudian dibawa ke Masjid Paya Luas, Temerloh untuk dimandi, dikafan dan disolatkan sebelum dibawa pulang ke Kuantan.

BACA JUGA:
Empat maut, empat cedera nahas 11 kenderaan di LPT1
Rakan terkejut Atikah Sofiya maut bersama suami, anak selepas saksi perarakan Hari Kebangsaan

Dalam kejadian pada puku 10.55 malam kelmarin, empat individu terkorban dalam kemalangan membabitkan 11 kenderaan, termasuk tiga beranak berkenaan yang menaiki Proton S70.

Seorang lagi mangsa yang maut ialah penumpang Honda CR-V, seorang lelaki berusia 55 tahun dari Shah Alam, Selangor.

Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, berdasarkan siasatan awal, kemalangan itu membabitkan sebuah lori tangki muatan simen, sebuah bas dan sembilan kereta yang dalam perjalanan menghala ke arah timur.

Menurutnya, kemalangan dipercayai berlaku selepas lori tangki berkenaan hilang kawalan sebelum melanggar beberapa kenderaan lain yang bergerak perlahan di laluan terbabit.

Nahas turut menyebabkan pemandu lori tangki berusia 52 tahun dan pemandu Honda CR-V berusia 18 tahun mengalami kecederaan parah.

Sementara itu, pemandu dan penumpang lapan kenderaan lain, termasuk kira-kira 30 penumpang bas ekspres, dilaporkan tidak mengalami kecederaan serius.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button