[VIDEO] ‘Feri bergoyang kiri kanan, motosikal tumbang’ – penumpang
GEORGE TOWN – Dentuman kuat secara tiba-tiba disusuli feri bergoyang ke kiri dan kanan mencetuskan suasana panik dalam kalangan penumpang Feri Teluk Bahang selepas terbabit dalam pelanggaran dengan kapal MV Mekar Jaya di perairan Pelabuhan Pulau Pinang, malam tadi.
Seorang penumpang yang mahu dikenali sebagai Zaidi berkata, kejadian berlaku ketika feri berkenaan hampir tiba di Pengkalan Sultan Abdul Halim (PSAH), Butterworth.
Menurutnya, ketika itu feri membawa kira-kira 45 hingga 50 motosikal dan dia berada di bahagian belakang ruang motosikal.
“Ketika kejadian, saya nampak sebuah kapal kargo berwarna gelap melintas di hadapan feri sebelum terdengar bunyi dentuman besi yang sangat kuat dari bahagian hadapan.
“Dentuman itu menyebabkan penumpang mula menjerit dan keadaan dalam feri menjadi kelam-kabut,” katanya memetik laporan Utusan Online.
Zaidi berkata, keadaan bertambah cemas apabila feri bergoyang ke kiri dan kanan sebelum berpusing akibat impak pelanggaran.
Menurutnya, beberapa motosikal yang dibawa di dalam feri turut terbalik menyebabkan penumpang dan penunggang motosikal terjatuh.
@malaysiatribune Sebuah kapal berlanggar dengan feri di Terminal Feri Pengkalan Sultan Abdul Halim, Butterworth, Pulau Pinang menyebabkan beberapa individu dilaporkan cedera. Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP), Datuk Yeoh Soon Hin mengesahkan kejadian berkenaan, namun beliau masih belum menerima maklumat lanjut mengenai tahap kerosakan dan jumlah mereka yang mengalami kecederaan. #malaysiatribune
“Saya cuba membantu penumpang yang terjatuh. Ada yang mengalami kecederaan di kepala, tangan dan kaki.
“Keadaan ketika itu memang sangat cemas kerana masing-masing cuba menyelamatkan diri,” katanya.
Beliau berkata, mangsa yang cedera kemudiannya dibawa mendapatkan rawatan menggunakan ambulans sebaik feri tiba di terminal.
Terdahulu, seramai 21 penumpang dilaporkan cedera dalam insiden pelanggaran antara Feri Teluk Bahang dan MV Mekar Jaya di perairan Pelabuhan Pulau Pinang pada pukul 8.40 malam tadi.
Berdasarkan maklumat awal, MV Mekar Jaya ketika itu dalam perjalanan dari Dermaga Air Dalam Butterworth (DADB) menuju ke Swettenham Pier Cruise Terminal (SPCT), manakala Feri Teluk Bahang pula dalam perjalanan ke PSAH.
Impak pelanggaran menyebabkan beberapa motosikal yang dibawa di atas feri terbabit terbalik.
Kesemua mangsa yang cedera dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan, manakala penumpang lain dilaporkan bersurai selepas keadaan di terminal kembali tenang dan terkawal.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

