Empat maut, lebih 50 cedera dalam serangan AS ketika majlis perkahwinan di Iran
TEHRAN – Sekurang-kurangnya empat orang termasuk seorang kanak-kanak maut, manakala lebih 50 lagi cedera dalam serangan peluru berpandu oleh tentera Amerika Syarikat (AS) yang dipercayai mengenai sebuah kediaman ketika majlis perkahwinan berlangsung di selatan Iran.
Persatuan Bulan Sabit Merah Iran berkata, serpihan akibat serangan itu mengenai sebuah rumah di bandar Kuhestak, daerah Sirik, wilayah Hormozgan, pada awal Rabu.
“Lebih 50 orang cedera dan empat orang termasuk seorang kanak-kanak maut,” menurut kenyataan organisasi itu menerusi platform X.
Rakaman video yang dikongsikan akaun kerajaan Iran pula menunjukkan keadaan sekitar lokasi kejadian dipenuhi serpihan serta mengalami kerosakan teruk.
Jeritan orang ramai turut kedengaran dalam rakaman berkenaan.
Bagaimanapun, pihak berkuasa AS setakat ini belum mengesahkan laporan berhubung serangan yang mengorbankan tetamu majlis perkahwinan itu.
Sebelum ini, Timbalan Gabenor Hormozgan, Ahmad Nafisi, dilaporkan memberitahu televisyen kerajaan bahawa dua kematian telah disahkan pada peringkat awal, selain sejumlah mangsa mengalami kecederaan.
Daerah Sirik terletak di sepanjang Selat Hormuz, laluan perairan strategik yang menjadi antara laluan utama perdagangan minyak dunia.
AS sebelum ini memaklumkan pihaknya melancarkan serangan terhadap sasaran milik Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC), susulan apa yang didakwa sebagai cubaan serangan terbaru terhadap kapal komersial di Selat Hormuz serta anggota tentera AS yang ditempatkan di rantau berkenaan.
Pada Selasa, media Iran turut melaporkan beberapa letupan berlaku di sejumlah bandar di sepanjang dan di timur kawasan Selat Hormuz, selain kejadian letupan di sebuah lapangan terbang di wilayah Kerman, selatan Iran.
AS menyertai Israel dalam melancarkan serangan ke atas Iran pada 28 Februari lalu. Serangan berkenaan dilaporkan mengorbankan pemimpin tertinggi Iran, Ali Khamenei, selain sejumlah pegawai kanan negara itu dan ratusan orang awam.
Iran kemudiannya bertindak balas dengan mengambil langkah mengawal Selat Hormuz, laluan sempit yang sebelum ini menjadi saluran kepada kira-kira satu perlima perdagangan minyak dunia.
Tehran turut melancarkan serangan menggunakan peluru berpandu dan dron ke beberapa negara Teluk.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








