Rakyat Malaysia dari Iran selamat tiba di KLIA
SEPANG — Seramai 24 individu, termasuk 17 rakyat Malaysia yang telah dibawa keluar dari Iran selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), malam tadi.
Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar Negeri memaklumkan kumpulan terbabit tiba pada pukul 10.50 malam menerusi penerbangan Malaysia Airlines MH781 yang diselaraskan oleh pihak kementerian.
Jelas Wisma Putra, kumpulan tersebut turut merangkumi enam warga Iran yang merupakan tanggungan kepada rakyat Malaysia, serta seorang warga Singapura.
“Mereka telah melepasi sempadan Iran-Turkmenistan pada 21 Jun dan seterusnya menaiki penerbangan Turkmenistan Airlines T5 647 ke Bangkok pada 22 Jun, sebelum menaiki Malaysia Airlines MH781 ke Malaysia,” katanya.
Dalam kenyataan sama, Wisma Putra berkata, proses evakuasi tersebut dilaksanakan oleh Kedutaan Besar Malaysia di Tehran yang melibatkan perjalanan darat sejauh 1,120 kilometer ke pintu sempadan Iran-Turkmenistan.
“Urusan penerbangan dari Ashgabat ke Bangkok dan seterusnya ke Malaysia turut dibantu oleh Kedutaan Besar Malaysia di Ashgabat dan Bangkok,” katanya.
Baca juga : Misi bawa pulang rakyat Malaysia dari Iran guna laluan darat
Sementara itu, Wisma Putra turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Republik Islam Iran, Turkmenistan dan Thailand atas kerjasama erat yang memungkinkan operasi pemindahan berjalan lancar dan berkesan.
“Proses evakuasi ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Malaysia dalam menjamin keselamatan dan kebajikan warganegara, selaras dengan nilai teras Ihsan dalam kerangka Malaysia MADANI,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, kenyataan tersebut turut memaklumkan Kedutaan Besar Malaysia di Ashgabat sebelum ini turut membantu pergerakan dan penerbangan warganegara Brunei untuk pulang ke negara asal mereka.
“Penglibatan seorang warganegara Singapura dalam operasi evakuasi kali ini serta bantuan kepada rakyat Brunei itu mencerminkan semangat solidariti serantau dan kesediaan Malaysia membantu rakyat negara anggota ASEAN,” katanya
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








