BERITA SEMASADALAM NEGERI

Gangguan Aerotrain: MOT akan ambil tindakan punitif ke atas MAHB

KUALA LUMPUR – Susulan beberapa kes gangguan perkhidmatan Aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Kementerian Pengangkutan (MOT) akan mengambil tindakan punitif terhadap Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, selaku syarikat yang diberikan lesen pengendali Aerotrain, MAHB sepatutnya wajib memastikan perkhidmatan pengangkutan itu berada pada tahap yang memuaskan.

“Ya, memang sekarang ini tindakan punitif akan dibuat oleh Kementerian Pengangkutan melalui Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

“Ini supaya kita dapat memberikan satu mesej jelas kepada syarikat-syarikat ini, walaupun mereka GLC (syarikat berkaitan kerajaan).

“Mereka ada tanggungjawab untuk memastikan perkhidmatan terbaik diberikan kepada rakyat,” katanya pada sesi penggulungan RUU Perbekalan 2026 peringkat dasar mewakili Kementerian Pengangkutan di Dewan Rakyat, semalam.

Terdahulu, Loke telah mengarahkan APAD membuka kertas siasatan terhadap MAHB susulan beberapa insiden gangguan perkhidmatan Aerotrain di KLIA.

Tindakan itu diambil susulan MOT mendapati perkhidmatan Aerotrain masih berdepan gangguan walaupun sudah beroperasi semula selama beberapa bulan.

Pada masa sama, Loke yang juga Ahli Parlimen Seremban menegaskan, MAHB perlu memastikan pihak kontraktor dilantik mesti dipertanggungjawabkan atas gangguan perkhidmatan berulang.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button