Wanita warga emas maut disambar buaya ketika mencari siput bersama anak
MIRI – Aktiviti mencari siput bertukar tragedi apabila seorang wanita warga emas berusia 78 tahun maut selepas dibaham buaya di sungai berhampiran Batu Niah, semalam.
Mangsa, Sambai Anggah, ketika itu berada di atas sebuah perahu manakala anak perempuannya sudah berada di dalam sungai, dengan jarak kira-kira satu meter.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, kejadian berlaku berhampiran simpang sebelum Jambatan Suai apabila buaya berkenaan secara tiba-tiba menyambar mangsa sebelum mengheretnya kira-kira 10 meter dari perahu.
Lebih menyayat hati kejadian itu disaksikan sendiri anak mangsa yang berada berhampiran lokasi.
Penduduk kampung yang menyedari kejadian kemudian bertindak mengepung reptilia berkenaan sehingga buaya itu melepaskan mangsa.
“Mangsa kemudiannya dibawa naik ke jeti sebelum pasukan penyelamat tiba di lokasi,” menurut kenyataan JBPM Sarawak.
Susulan kejadian, JBPM Sarawak menerima panggilan kecemasan pada jam 11.26 pagi sebelum lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Batu Niah dikerahkan ke lokasi.
Pasukan bomba tiba kira-kira 30 minit kemudian dan menjalankan operasi mencari serta menguruskan mangsa.
Operasi ditamatkan pada jam 1.45 petang selepas mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








