BERITA SEMASA

Iftar Kasih Wanita MADANI perkukuh kerjasama politik wanita Kerajaan Perpaduan

CYBERJAYA – Program Iftar Kasih Wanita MADANI yang diinisiatifkan Wanita Pakatan Harapan menjadi medan memperkukuh hubungan dan kerjasama politik dalam kalangan pemimpin wanita daripada parti-parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan.

Program itu menghimpunkan pemimpin wanita daripada pelbagai latar belakang parti dalam suasana santai, sekali gus membuka ruang perbincangan tidak formal mengenai peranan wanita dalam memperkukuh perpaduan politik negara.

Ahli Parlimen Sepang, Datuk Hajah Aiman Athirah Sabu bersama pimpinan wanita daripada pelbagai latar belakang parti. Foto Suziyani / Malaysia Tribune

Ahli Parlimen Sepang, Datuk Hajah Aiman Athirah Sabu berkata, penganjuran program tersebut merupakan inisiatif di bawah gagasan Wanita MADANI yang bertujuan merapatkan hubungan antara pemimpin wanita daripada pelbagai parti dalam Kerajaan Perpaduan.

Menurut beliau, program tersebut telah memasuki tahun ketiga penganjurannya dan menjadi platform menghimpunkan wanita daripada pelbagai latar belakang politik dalam satu suasana yang lebih santai serta terbuka.

“Program ini sebenarnya sudah memasuki tahun ketiga kita adakan secara berturut-turut untuk menghimpunkan wanita daripada pelbagai latar belakang parti politik yang kini bersama dalam kerajaan perpaduan, sekali gus memperkukuhkan hubungan silaturahim menjelang Ramadan,” katanya.

Tambahnya, suasana santai seperti itu penting bagi mewujudkan persekitaran yang lebih selesa supaya pemimpin wanita dapat berinteraksi serta merangka kerjasama yang lebih baik.

“Apabila kita adakan program seperti ini, kita mewujudkan satu keadaan yang selesa antara satu sama lain.

“Dalam suasana santai, kita boleh berbincang pelbagai perkara sebelum melaksanakan tugas yang lebih serius di lapangan,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hutan Melintang merangkap Naib Ketua Wanita Keadilan Pusat, Wasanthee Sinnasamy berkata, program tersebut memberi peluang kepada pemimpin wanita daripada parti berbeza untuk bertemu dan berbincang secara tidak formal.

Menurutnya, tanpa platform seperti itu, peluang untuk pemimpin wanita daripada pelbagai parti bertemu dalam suasana santai adalah agak terhad memandangkan masing-masing mempunyai komitmen politik yang padat.

“Program seperti ini merapatkan hubungan silaturahim antara ahli-ahli daripada parti yang berbeza.

“Dalam suasana santai, banyak perkara boleh dibincangkan dan ia juga menjadi satu langkah persediaan untuk kita menghadapi pilihan raya yang akan datang,” katanya.

Beliau berkata, kerjasama serta semangat berganding bahu antara pemimpin wanita penting bagi memastikan lebih ramai calon wanita diberi peluang dan dipertimbangkan dalam senarai utama pada pilihan raya akan datang di seluruh negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button