PM seru rakyat hayati semangat Ramadan selepas Aidilfitri
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru agar nilai tarbiah Ramadan terus dihayati dan diamalkan sepanjang masa, bukan sekadar terhenti selepas berakhirnya bulan suci itu.
Beliau berkata, pengalaman melalui ‘madrasah Ramadan’ sepanjang bulan puasa perlu dijadikan asas dalam membentuk keperibadian, akhlak serta adab yang lebih baik dalam kehidupan seharian.
Dalam perutusan sempena Aidilfitri yang disiarkan secara langsung di semua stesen televisyen tempatan, beliau menggesa rakyat supaya terus menjiwai semangat Ramadan, khususnya dalam membantu golongan miskin dan mereka yang memerlukan.
“Semoga ibadah dalam bulan puasa ini diserap ke dalam sanubari dan menjadi amalan berterusan. Semangat dan nilai yang dibugar daripada tarbiyah Ramadan harus disegarkan untuk menjana kekuatan dalaman umat, sekali gus menjadi prasyarat penting untuk Malaysia bergerak lebih pantas dan yakin ke hadapan,” katanya.
Menurut beliau, Malaysia yang dibina atas asas kepelbagaian kaum perlu terus memelihara tradisi saling bermaafan, ziarah-menziarahi, mengeratkan silaturahim serta amalan rumah terbuka sebagai elemen penyatuan rakyat.
Dalam masa sama, beliau turut menyentuh perkembangan konflik di Asia Barat dan mengingatkan bahawa Malaysia tidak terkecuali daripada tempias geopolitik global, termasuk ketegangan melibatkan dunia Arab dan Iran susulan tindakan rejim Zionis Israel yang disokong oleh Amerika Syarikat terhadap negara Islam.
Katanya, kesan konflik tersebut dijangka memberi impak kepada rantau ini, terutama dari segi kenaikan harga minyak, barangan keperluan, kos sara hidup serta tekanan terhadap ekonomi negara.
Sehubungan itu, beliau memberi jaminan kerajaan akan berusaha sedaya upaya untuk meringankan beban rakyat.
“Kerajaan bertanggungjawab menjiwai roh Ramadan dan semangat membela nasib rakyat, khususnya dalam menghadapi cabaran ekonomi yang semakin mencabar,” katanya.
Tambah beliau, kekuatan negara terletak pada kebulatan dan kesatuan hati rakyat melalui konsep wahdatul fikri dan wahdatul amal dalam mempertahankan perpaduan serta keharmonian.
“Kita yakin negara mampu kekal optimis dengan pencapaian semasa. Kerajaan MADANI akan terus berusaha mengukuhkan kedudukan ini walaupun berdepan pelbagai cabaran,” ujarnya.
Beliau turut mengajak rakyat menjadikan sambutan Aidilfitri sebagai titik tolak untuk memperkukuh tekad merealisasikan agenda Malaysia MADANI dengan mengangkat martabat insan, menegakkan keadilan serta memastikan kemakmuran dan keselamatan negara terus terjamin.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















