Anwar berlepas ke China, perkukuh hubungan diplomatik KL–Beijing
PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berlepas ke China hari ini selepas menghadiri sambutan Hari Kebangsaan 2025 di Dataran Putrajaya, bagi memulakan lawatan rasmi yang dijadual berlangsung sehingga 3 September.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Perdana Menteri berlepas pada jam 11 pagi dengan kemuncak lawatan dijadualkan berlangsung pada 3 September.
“Walaupun beliau pernah melawat China beberapa kali, lawatan kali ini sangat penting kerana Malaysia mahu memperkukuh hubungan dua hala, lebih-lebih lagi bersempena sambutan Hari Kebangsaan dan juga Hari Nasional China.
“Saya percaya ini masa yang baik untuk kedua-dua negara mengeratkan lagi kerjasama,” katanya di sini hari ini.
Menurut Wisma Putra, lawatan kerja Perdana Menteri ke China adalah atas jemputan Presiden Xi Jinping untuk menghadiri Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO).
Selain itu, lawatan ini juga bersempena ulang tahun ke-80 kemenangan rakyat China menentang pencerobohan Jepun serta Peperangan Anti-Fasis Sedunia.
Penyertaan Malaysia, menurut kenyataan itu, mencerminkan solidariti serta penghormatan kepada pengorbanan rakyat China ketika Perang Dunia Kedua, di samping usaha memperkukuh hubungan dua hala.
Sebagai Pengerusi ASEAN, penyertaan Malaysia juga dilihat penting untuk memperkukuh hubungan ASEAN–SCO serta membuka ruang kerjasama dalam bidang perdagangan, pelaburan dan geopolitik serantau.
Selain menghadiri sidang kemuncak, Anwar turut dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Xi Jinping serta mesyuarat dua hala bersama Premier Li Qiang bagi membincangkan isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.
Malaysia dan China telah menjalin hubungan diplomatik sejak 31 Mei 1974, dengan China kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia selama 16 tahun berturut-turut sejak 2009. Pada 2024, nilai dagangan kedua-dua negara mencecah RM484.12 bilion, merangkumi 16.8 peratus daripada jumlah perdagangan global Malaysia sebanyak RM2.879 trilion.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








