PM kutuk serangan bom masjid di Islamabad, Malaysia zahir solidariti bersama Pakistan
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan rasa dukacita yang mendalam susulan serangan bom ke atas sebuah masjid di Islamabad, Pakistan yang mengorbankan nyawa ketika umat Islam sedang menunaikan solat Jumaat, semalam.
Beliau menyifatkan serangan itu sebagai perbuatan kejam yang mencabuli nilai asas kemanusiaan serta satu penghinaan terhadap kesucian rumah ibadat dan penganut agama yang tidak berdosa.

“Saya amat berdukacita dengan kehilangan nyawa akibat serangan bom di sebuah masjid di Islamabad semasa solat Jumaat semalam.
“Serangan yang disengajakan terhadap jemaah ini merupakan satu pencabulan terhadap norma asas kemanusiaan dan ingatan serta doa kami bersama mereka yang kehilangan insan tersayang atau mengalami kecederaan,” katanya menerusi hantaran di media sosial, hari ini.
Anwar turut menegaskan pendirian Malaysia yang berdiri teguh bersama rakyat Pakistan dalam menghadapi detik duka berkenaan, selain menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa serta solidariti kepada semua pihak yang terkesan akibat serangan tersebut.
“Malaysia berdiri teguh bersama rakyat Pakistan dalam saat penuh dukacita ini. Kami merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan menzahirkan solidariti kepada semua yang terkesan akibat serangan ini.
“Kami percaya pihak berkuasa akan menjalankan siasatan menyeluruh dan membawa pihak yang bertanggungjawab ke muka pengadilan,” katanya.
Terdahulu, media antarabangsa melaporkan sekurang-kurangnya 31 orang terkorban manakala 169 lagi cedera dalam serangan yang berlaku di Masjid Imam Bargah Qasr-e-Khadijatul Kubra yang terletak di pinggir Islamabad.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








