BERITA SEMASALUAR NEGARA

Operasi tentera terhadap pemberontak remaja di Colombia cetus kritikan

BOGOTA – Pentadbiran kerajaan Colombia di bawah Presiden Gustavo Petro menerima kritikan apabila serangan tentera menyebabkan kematian lapan remaja dalam pemberontak bersenjata di negara itu pada minggu lalu.

Remaja berkenaan didakwa sebagai kumpulan yang direkrut oleh pemberontak untuk dijadikan pelindung manusia dalam gerakan mereka.

Perkembangan terbaharu itu mencetuskan perdebatan mengenai isu perekrutan kanak-kanak yang semakin berleluasa dan persoalan sama ada mereka boleh dilindungi ketika operasi ketenteraan dijalankan.

Dalam kenyataan di platform X pada Isnin, Petro memaklumkan tujuh remaja maut dalam serangan udara pasukan tentera negara itu di Guaviare pada 10 November lalu.

Seorang lagi mangsa bawah umur terbunuh tiga hari kemudian dalam operasi berasingan di Arauca.

Angka itu menjadikan sekurang-kurangnya 12 remaja maut dalam tempoh kurang dua bulan.

“Kesemua mereka adalah mangsa perekrutan paksa oleh penjenayah yang menyeret mereka ke dalam pertempuran yang menyebabkan mereka sukar dilindungi semasa operasi ketenteraan,” kata Petro.

Isu keselamatan golongan bawah umur di Colombia menjadi tumpuan apabila statistik rasmi menunjukkan perekrutan kanak-kanak meningkat sehingga 1,000 peratus dari 2021 hingga 2024.

Laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada Jun lalu turut mengesahkan 474 kes perekrutan kanak-kanak oleh kumpulan bersenjata antara 2022 hingga 2024.

Ada mangsa yang dilaporkan seawal usia sembilan tahun, termasuk daripada komuniti Orang Asli.

Sementara itu, kerajaan Colombia kini menumpukan operasi terhadap Estado Mayor Central (EMC), kumpulan serpihan FARC yang terkenal menggunakan kanak-kanak sebagai anggota barisan hadapan dalam pemberontakan.

Penganalisis keselamatan, Elizabeth Dickinson berkata, EMC paling banyak bertanggungjawab merekrut kanak-kanak dan sering menempatkan mereka sebagai ‘perisai manusia’ di kawasan komander kumpulan itu.

Bagaimanapun, pendekatan ketenteraan kerajaan terhadap situasi yang melibatkan remaja dan kanak-kanak mengundang kritikan hebat, terutama menjelang pilihan raya presiden 2026.

Pihak pembangkang mendakwa insiden kematian terbaharu itu sebagai pencabulan undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

Beberapa ahli Parlimen mengemukakan usul kecaman terhadap Menteri Pertahanan, Pedro Sanchez, malah ada yang menuntut beliau segera melepaskan jawatan.

Wakil rakyat, Katherine Miranda turut menggesa Petro ‘menjawab kepada negara’ berhubung apa yang digelar sebagai jenayah negara terhadap kanak-kanak mangsa perekrutan paksa.

Dickinson menegaskan kanak-kanak terbabit tetap mempunyai perlindungan di bawah undang-undang antarabangsa.

Geneva Convention menetapkan negara anggota mesti mengambil semua langkah munasabah bagi memastikan remaja bawah 15 tahun tidak terlibat dalam pertempuran.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button