Trump desak rundingan nuklear dengan Iran, beri amaran serangan lebih dahsyat
WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memberi amaran keras kepada Iran supaya segera kembali ke meja rundingan berhubung program senjata nuklear negara itu atau berdepan serangan yang jauh lebih dahsyat dari sebelum ini.
Trump dalam satu hantaran di media sosial pada Rabu berkata, Iran masih mempunyai ruang untuk berunding bagi mencapai perjanjian yang adil dan saksama namun masanya semakin suntuk.
“Harap Iran segera datang ke meja rundingan dan berunding untuk satu perjanjian yang adil iaitu ‘Tiada senjata Nuklear’ demi kebaikan semua pihak.
“Masa semakin suntuk dan perkara ini amat mendesak,” katanya.
Presiden AS itu turut mengingatkan bahawa amaran terakhirnya sebelum ini telah disusuli dengan serangan ketenteraan pada Jun lalu, selain memberi bayangan bahawa satu lagi kekuatan ketenteraan AS sedang digerakkan ke arah Iran.
“Serangan seterusnya akan menjadi jauh lebih teruk. Jangan biarkan ia berlaku lagi,” katanya sambil mendedahkan satu lagi ‘armada’ ketenteraan AS kini sedang belayar ke perairan berhampiran Iran.
Bagaimanapun, Iran memberi reaksi tegas terhadap ancaman tersebut.
Misi Iran ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam satu kenyataan di platform X menegaskan Tehran sedia untuk berdialog namun tidak akan teragak-agak mempertahankan diri sekiranya ditekan.
“Kali terakhir AS terjerumus ke dalam perang di Afghanistan dan Iraq, negara itu membazir lebih AS$7 trilion dan kehilangan lebih 7,000 nyawa rakyatnya,” menurut kenyataan itu sambil memberi amaran Iran tidak akan berdiam diri sekiranya diserang bahkan akan membalas serangan dengan lebih hebat kali ini.
Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi pula dilaporkan media tempatan berkata, beliau tidak mengadakan sebarang perhubungan dengan utusan khas AS, Steve Witkoff, dalam beberapa hari kebelakangan ini dan tidak pernah memohon rundingan.
Sementara itu, penasihat kepada Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, Ali Shamkhani, memberi amaran bahawa sebarang tindakan ketenteraan AS akan menyebabkan Iran menyasarkan AS, Israel serta pihak yang menyokongnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Trump sebelum ini mengumumkan penghantaran armada ketenteraan tambahan ke rantau berkenaan ketika berucap di Iowa pada Selasa, dengan mendakwa AS telah melumpuhkan keupayaan nuklear Iran dalam operasi ketenteraan sebelum ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








