LUAR NEGARA

Israel terus bedil Lubnan, 25 maut walau gencatan senjata masih berkuat kuasa

BEIRUT – Sekurang-kurangnya 25 orang terbunuh manakala puluhan lagi cedera selepas Israel terus melancarkan siri serangan udara dan bedilan artileri di beberapa kawasan di Lubnan walaupun gencatan senjata masih berkuat kuasa.

Menurut TRT World, antara kawasan yang menjadi sasaran ialah Saksakiyeh, Nabatieh, Chouf dan Haris, selain beberapa bandar di selatan Lubnan yang turut mengalami kemusnahan rumah penduduk akibat serangan berterusan.

Kementerian Kesihatan Lubnan memaklumkan, lapan individu maut dalam serangan udara Israel di selatan negara itu pada Sabtu termasuk seorang kanak-kanak perempuan, manakala 15 lagi cedera termasuk tiga kanak-kanak.

Dalam kejadian yang mencetuskan kecaman antarabangsa itu, sebuah dron Israel dilaporkan menyerang seorang lelaki warga Syria bersama anak perempuannya berusia 12 tahun ketika menaiki motosikal di Nabatieh.

Menurut kementerian itu, kedua-dua mangsa berjaya menyelamatkan diri selepas serangan pertama, namun dron berkenaan kembali melancarkan serangan kedua hingga membunuh si bapa.

“Kanak-kanak perempuan itu kemudian menjadi sasaran serangan ketiga secara langsung,” menurut kenyataan kementerian tersebut.

Media rasmi Lubnan turut melaporkan beberapa lagi serangan berlaku di kawasan luar Beirut termasuk di lebuh raya Saadiyat yang menghubungkan ibu negara itu dengan kawasan selatan negara berkenaan.

Agensi Berita Nasional Lubnan (NNA) berkata, satu lagi serangan turut dilaporkan berlaku di daerah Chouf, kira-kira 20 kilometer di selatan Beirut.

Pada masa sama, tentera Israel meningkatkan bedilan artileri ke atas beberapa bandar di selatan Lubnan termasuk Braashit, Safad al-Battikh, Touline, Ghazieh dan Froun.

Bedilan turut menyasarkan Majdal Zoun, Mansouri dan Beit al-Sayyad sebelum tembakan senjata api dilepaskan ke arah Al-Bayada yang dilaporkan menjadi lokasi pertempuran antara tentera Israel dan pejuang Hizbullah.

Walaupun gencatan senjata diumumkan pada 17 April lalu dan dilanjutkan sehingga 17 Mei ini, Israel didakwa terus melancarkan serangan hampir setiap hari di wilayah selatan Lubnan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button