BERITA SEMASALUAR NEGARA

‘Hulk’ desak Trump, pemimpin eropah segera henti serangan, kebuluran di Gaza

KUALA LUMPUR – Pelakon dan aktivis Hollywood, Mark Ruffalo mendesak Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump serta pemimpin Eropah supaya segera campur tangan menghentikan krisis kemanusiaan di Gaza yang semakin meruncing.

Dalam satu video dimuat naik ke Instagram pada kelmarin, Ruffalo yang terkenal dengan watak Hulk dalam filem Avengers, menyifatkan kebuluran di Gaza bukan bencana alam, sebaliknya jenayah buatan manusia yang didalangi Israel.

Beliau merujuk laporan rasmi Integrated Food Security Phase Classification (IPC) yang mengisytiharkan kebuluran di Gaza City dan kawasan sekitarnya melibatkan lebih setengah juta penduduk yang kini berdepan kelaparan, kemiskinan ekstrem dan kematian.

“Jangan biarkan Gaza mati kelaparan. Ini bukan kemarau. Ini adalah tindakan jenayah untuk membunuh orang awam,” katanya sambil menyeru masyarakat dunia agar bersuara dan bertindak.

Baca juga : Israel berdepan isolasi global, rakan sekutu mula jauhkan diri

Ruffalo menegaskan lebih 80 peratus mangsa terkorban dalam konflik berkenaan adalah orang awam termasuk kanak-kanak.

Beliau kemudian secara terbuka menamakan pemimpin dunia dalam seruannya.

“Presiden Trump, lakukan sesuatu! Jerman, lakukan sesuatu! Eropah, lakukan sesuatu! UK, lakukan sesuatu!” tegasnya.

Menurutnya, sikap berdiam diri dunia merupakan satu bentuk persekongkolan dan menuntut agar kebuluran serta pembunuhan dihentikan segera.

Dalam hantaran sama, Ruffalo mengecam tindakan Israel yang didakwa menggunakan peluru berpandu dengan nama beliau serta penyanyi Billie Eilish sebagai bentuk intimidasi terhadap selebriti yang menyokong Palestin.

Eilish sebelum ini turut menyuarakan kebimbangan terhadap pelan pemindahan penduduk Palestin oleh Israel yang disifatkannya sebagai mengerikan.

Kedua-dua selebriti itu turut mengenakan pin merah Artists4Ceasefire ketika menghadiri Anugerah Oscar sebagai simbol solidariti terhadap Gaza.

Krisis kemanusiaan di Gaza terus menarik perhatian dunia, namun Ruffalo menegaskan tindakan nyata daripada pemimpin global amat diperlukan bagi menghentikan kebuluran, penindasan dan kemusnahan yang sedang berlaku.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button