Kanada hantar 10 tan bantuan udara ke Gaza
OTTAWA – Kanada semalam menjatuhkan kira-kira 10 tan bekalan makanan ke Semenanjung Gaza ketika dunia terus menyuarakan kebimbangan terhadap krisis kebuluran yang semakin memburuk di wilayah berkenaan.
Menteri Hal Ehwal Luar, Anita Anand dan Menteri Pertahanan, David McGuinty dalam kenyataan bersama memaklumkan penghantaran itu dilaksanakan menggunakan pesawat pengangkut CC-130J Hercules milik Angkatan Tentera Kanada.
Sementara itu, Perdana Menteri, Mark Carney menerusi kenyataan di media sosial menyuarakan kebimbangannya terhadap keadaan semasa yang disifatkan sebagai “bencana kemanusiaan yang semakin parah.”
“Kanada sedang mempergiat usaha bersama rakan antarabangsa untuk merangka pelan damai yang kredibel serta memastikan bantuan sampai pada skala yang diperlukan,” katanya.
Sebelum ini, Carney turut berkongsi video penghantaran bantuan dari Kanada ke Gaza menggunakan pesawat tentera Jordan.
Dalam satu hantaran berasingan, Anand memaklumkan beliau masih berhubung dengan rakan sejawatannya di Jordan bagi memastikan saluran bantuan udara dan darat ke Gaza berjalan lancar.
Kanada merupakan antara beberapa negara yang memilih kaedah penghantaran udara untuk menyampaikan bantuan ke Gaza, walaupun kaedah itu sering dikritik sebagai berisiko dan tidak efisien.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan beberapa agensi bantuan antarabangsa sebelum ini menyatakan bahawa penghantaran bantuan melalui udara menelan kos tinggi dan berbahaya berbanding bantuan melalui darat.
Sejak Mac lalu, Israel mengenakan sekatan ke atas Gaza dengan dakwaan Hamas menjual bekalan makanan dan keperluan penting untuk membiayai pejuangnya.
Bagaimanapun agensi PBB menolak dakwaan itu dan menyatakan tiada bukti kukuh berlaku penyelewengan besar-besaran.
Selepas dua bulan setengah, Israel membenarkan pelancaran Gaza Humanitarian Foundation oleh Amerika Syarikat bagi menyelaras pengagihan bantuan.
Namun, ratusan rakyat Palestin dilaporkan terbunuh akibat tembakan tentera Israel dan kontraktor Amerika semasa cuba mendapatkan bantuan tersebut.
Ekoran tekanan global, Israel mula melonggarkan sekatan terhadap kemasukan makanan dan ubat-ubatan ke Gaza.
Dalam kenyataan dikeluarkan pada Isnin, Global Affairs Canada menyifatkan sekatan bantuan oleh Israel sebagai satu pelanggaran undang-undang antarabangsa dan mendesak agar ia dihentikan serta-merta.
Minggu lalu, Carney turut mengumumkan bahawa Kanada secara rasmi akan mengiktiraf Negara Palestin dengan memetik sekatan Israel dan keperluan untuk mempertahankan penyelesaian dua negara sebagai asas kepada keputusan itu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |













