
Skuad Musa’adah Al-Falah Madani digerak bantu mangsa banjir
PUTRAJAYA – Skuad Musa’adah Al-Falah Madani telah digerakkan secara proaktif dan strategik bagi menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir di beberapa negeri terjejas.
Misi bantuan itu disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dalam satu majlis pelepasan yang diadakan hari ini.
“Usaha ini adalah sebagai respons terhadap seruan yang dibuat oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, agar agensi-agensi kerajaan dan masyarakat bersama-sama turun padang untuk membantu mangsa banjir.
“Ini adalah sebahagian daripada komitmen berterusan kerajaan untuk meringankan beban rakyat yang terkesan akibat banjir yang luar biasa tahun ini, yang diakui lebih teruk berbanding tahun 2014, terutama di pantai timur,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelepasan itu di sini hari ini.
Terdahulu skuad itu digerakkan dengan melibatkan kerjasama dengan Zus Coffee yang menyumbang sebanyak RM1.5 juta kepada Yayasan Waqaf Malaysia bagi membantu mangsa banjir.
Dalam pada itu katanya, dalam misi bantuan itu, pelbagai bentuk sumbangan telah disediakan untuk meringankan beban mangsa, antaranya pek makanan kering, kit kebersihan, pampers dan tuala wanita, wang tunai, kit solat, selimut, kipas, serta keperluan asas lain.
“Ini adalah manifestasi kemanusiaan yang bertujuan memastikan tiada mangsa yang berdepan dengan kesusahan seorang diri. Kita mahu mengangkat nilai kasih sayang dan solidariti, selaras dengan semangat Malaysia Madani.
“Hari ini, lebih kurang 25 sukarelawan daripada pelbagai agensi telah turun padang untuk membantu mangsa banjir yang berada di pantai timur,” tambahnya.
Sementara itu majlis pelepasan itu turut menyaksikan penyerahan vest kepada wakil sukarelawan yang terdiri daripada 14 agensi, antaranya JAKIM, MAIWP, JAWI, YAPEIM, TV AlHijrah, dan Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan.
Selain itu, rakyat Malaysia juga digalakkan untuk menghulurkan sumbangan melalui Tabung Musa’adah JAKIM-Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) akaun CIMB Islamic Bank: 86-0221818-6 (Rujukan: BANJIR) disediakan bagi memudahkan sumbangan disalurkan langsung kepada mangsa banjir melalui Skuad Musa’adah Al-Falah Madani dan agensi-agensi yang terlibat.
Skuad itu akan bergerak ke kawasan-kawasan terjejas di Tumpat, Kelantan, termasuk Simpangan, Jubakar, dan Kampung Jambu, sebelum melanjutkan misi ke daerah-daerah lain yang turut terlibat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








